klpost4

Warga emas parah dipijak

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

ALOR GAJAH  –  Seorang warga emas kini tidak berupaya untuk bergerak selepas kakinya ditendang, manakala tangannya dipijak peragut yang merentap gelang tangannya di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa, Rajimah Osman sedang mengait buah ciku di kebunnya selepas membersihkan kebun sebelum didatangi seorang lelaki yang dihantar menaiki sebuah kereta.

Saksi kejadian berusia 29 tahun berkata, ketika ditemubual oleh Sinar Harian itu dia berada di beranda rumah terkejut mendengar jeritan mangsa yang sudah pun terbaring.

Menurutnya, sebelum itu saya nampak sebuah kereta jenis Proton Persona dinaiki tiga lelaki sebelum salah seorang daripadanya turun mendekati mangsa yang sedang mengait buah.

“Lelaki itu menendang kaki mangsa menyebabkannya terjatuh dan tangan kanan mangsa turut dipijak sebelum gelang tangan direntap.

“Saya yang berada kira-kira 70 meter dari tempat kejadian bergegas ke arah mangsa dan cuba mengejar penjenayah itu,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dia menyedari terdapat sebuah motosikal jenis Yahama 125Z berwarna hitam datang dan berhenti kira-kira 100 meter dari tempat kejadian membawa topi keledar.

“Saya menjerit dan cuba mengejar penjenayah itu tetapi gagal dan mereka sudah pun memecut lari,” katanya.

Katanya, jeritannya didengari anak saudara mangsa, Mohd Ridwan Mat Minhat, 27, yang segera menghantar mangsa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Ekoran kejadian berkenaan, mangsa dilaporkan masih dalam keadaan trauma dan tidak berupaya untuk bergerak selain menanggung kerugian anggaran RM5,000 atas kehilangan seutas gelang tangan,” katanya di sini, semalam.