klpost

Warga asing pura-pura ingin beli air,dicekup polis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

warga-asing2Kuala Lumpur – Seorang warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan membonceng motosikal rakannya berpura-pura berjalan ke kedai serbaneka selepas kawannya diperiksa polis dalam sekatan jalan raya di Dataran Merdeka, semalam.

Bagaimanapun, anggota polis lain yang mengawal sekatan menyedari taktik lelaki berusia 20-an dari Indonesia itu lalu menahannya 100 meter dari lokasi rakannya ditahan.
Difahamkan, selepas ditahan, lelaki warga asing itu memberi alasan hendak membeli air sementara menunggu rakannya disaman, namun kelakuannya yang mencurigakan membuatkan anggota membuat pemeriksaan lanjut.

Siasatan lanjut mendapati lelaki warga asing itu tidak memiliki sebarang dokumen dan cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 2.30 pagi itu, seorang lelaki warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen.
“Kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen didapati masih di tahap tinggi apabila 57 kes membabitkan kesalahan itu daripada 350 kenderaan yang diperiksa.

“Secara keseluruhan, sebanyak 124 saman dikeluarkan anggota trafik, 40 saman dan 30 notis arah periksa Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan 11 saman ekzos bising oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menunda lima kereta, manakala 46 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

Katanya, operasi itu turut memberi fokus kepada pemandu teksi berikutan banyak kesalahan jenayah membabitkan pemandu kenderaan itu sekarang. – myMetro