klpost

Wanita UMNO tekad terus sokong gandingan Najib-Zahid

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Wanita UMNO bertekad untuk terus teguh menyokong gandingan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memimpin parti keramat itu.

Sambil menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi, Ketua Pergerakannya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil meminta kedua-dua pemimpin itu untuk terus mengibarkan panji aspirasi dan memandu transformasi yang telah dijanjikan sebelum ini.

“Kepada presiden, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta saf kepimpinan UMNO, Wanita akan memastikan barisan yang diluruskan lebih 70 tahun lamanya ini, terus tenang dan padu, memecah lontaran-lontaran hasutan yang mencemburui ikatan kekuatan parti ini.

“Wanita juga menyokong pendirian dan cadangan (Datuk Seri) Hishammuddin yang menekankan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang tiada ditandingi, demi perpaduan dan muafakat serta kestabilan parti,” katanya penuh tegas diiringi sorakan lautan merah putih 973 perwakilan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung sayap parti itu di sini hari ini.

Pemimpin wanita yang sentiasa kelihatan anggun itu turut menyatakan ikrar Wanita UMNO untuk berganding bahu bersama-sama Pemuda dan Puteri serta parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi menjadi pencari undi, penentu undi, perayu undi, pengekal undi hatta pemecah undi di mana yang perlu.

Dalam ucapan dasarnya, Shahrizat berjanji dengan kekuatan 1.4 juta anggota berdaftar, yang merupakan keanggotaan parti politik wanita terbesar dalam sejarah, Wanita UMNO akan memastikan BN tidak akan gugur di medan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang digambarkan sebagai raja segala pilihan raya umum.

Pemimpin parti yang menjadi tulang belakang UMNO itu turut memberi jaminan bahawa Wanita UMNO akan berjuang dan berjihad untuk memastikan Malaysia tidak terlepas kepada pembangkang pada PRU14.

Menurut Shahrizat yang telah memimpin Pergerakan Wanita UMNO sejak 2009, rakyat terpaksa memilih antara dua, sama ada memilih BN yang telah terbukti banyak berjasa kepada rakyat ataupun pembangkang.

“Di sebelah kanan adalah kerajaan persekutuan di bawah parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu BN, yang mana kita kenal hati budi dan rekod pencapaian serta menjaga rakyat.

“Di sebelah kiri pula ialah kerajaan yang akan ‘dikronikan’ oleh DAP. Sanggupkah rakyat serah bulat-bulat negara yang kita sayang kepada pemimpin cauvinis yang mana agenda mereka sangat membimbangkan kita? Sanggupkah?” soal beliau sambil disambut laungan “tidak sanggup” oleh perwakilan.

Shahrizat dalam pada itu berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana di bawah pimpinan beliau kerajaan berjaya menghasilkan 35.8 peratus wanita sebagai pembuat dasar dalam sektor awam.

Beliau yakin selepas PRU14 ini, lebih ramai lagi Wanita UMNO akan diberi tempat menjadi anggota jemaah menteri dan dalam parti.

Kini kita teruskan usaha mengangkat wanita, bermula dengan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam sektor awam dan pembuat dasar kerajaan sehinggalah sektor swasta. Hari ini kita angkat tiga jari mahu sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai calon pilihan raya.

“Kita Wanita (UMNO) telah dipercayai dan diyakini sebagai jentera terkuat parti untuk menangkan PRU, Wanita UMNO berpengalaman, bijaksana, profesional, muda, komited dan berdisiplin tinggi. Ini ramuan terbaik dalam mana-mana organisasi, takkan tiada 30 peratus antara wanita-wanita hebat ini layak jadi calon PRU yang boleh menang,” katanya.

“Hati wanita Shahrizat juga tersentuh apabila dalam pembentangan ibu segala Bajet baru-baru ini, golongan wanita bukan sahaja diberi perhatian khusus dari segi peluang meningkatkan kewangan keluarga, malah turut diberi perhatian untuk mengecapi kualiti hidup lebih baik dari segi fizikal dan moral.

“Katanya, sebagai Perdana Menteri, Najib telah memastikan wanita Malaysia mendapat manfaat dalam kebanyakan inisiatif yang diperuntukkan dalam Bajet 2018.

“Sebelum mengakhiri ucapannya, Shahrizat dengan penuh semangat meminta semua perwakilan yang memenuhi Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk bangun bersama beliau dan berikrar akan berjuang berhabis-habisan untuk BN.

“Bangun semua Ibu Terbaik Bangsa. Perang mesti menang…hidup Wanita (UMNO)!” laungnya. – Bernama