SK

Wanita ugut Panglima TUDM

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

SHAH ALAM, Jun 12, 2012: Seorang kontraktor wanita didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua tuduhan mengugut bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral (B) Datuk Seri Suleiman Mahmud melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), Februari tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin turut memerintahkan Jamaliah Abdul Majid, 49, dipenjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Jamaliah didakwa menggunakan telefon bimbit berulang kali menghantar SMS kepada Suleiman, 65, pada 17 dan 18 Feb tahun lepas, dengan niat untuk mengugut.

Tertuduh yang berasal dari Taiping, Perak, didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh menghantar SMS semasa Suleiman berada di Dublin, Ireland, memberitahunya bahawa beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah.

Tertuduh seterusnya menghantar dua lagi SMS kepada Suleiman bertanya sama ada beliau ingin menemui pegawai penyiasat SPRM dan juga memberitahu dia (tertuduh) boleh menyelesaikan kes itu dengan bayaran RM100,000 untuk diberi kepada pegawai penyiasat SPRM.

Pada 17 Februari tahun lalu, Suleiman membuat laporan SPRM dan keesokan harinya (18 Februari) Jamaliah sekali lagi menghantar SMS berulang kali kepada Suleiman menyebabkan beliau berasa telah diugut.
Tertuduh ditahan pada 10.50 malam berkenaan di Hentian Rehat dan Rawat Tapah arah selatan ketika berjumpa dengan Suleiman untuk mengambil RM50,000 daripada beliau.

Terdahulu, Jamaliah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia tiada niat untuk mengugut Suleiman.

Pendakwaan dikendalikan Mahamad Sukri Abu Seman daripada SPRM. – BERNAMA