klpost

Wanita Misteri Mengamuk di JPM Didakwa hari ini

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Wanita yang mengamuk bersama seorang lelaki dengan bersenjatakan pedang samurai di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini minggu lepas, hari ini didakwa atas dua tuduhan iaitu ugutan jenayah dan membawa pedang.Muhdalena Ahmad, 28, yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Muhdalena didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini yang bersidang di wad ortopedik Hospital Putrajaya, di mana dia sedang menerima rawatan akibat daripada kecederaan yang dialaminya dalam kejadian amuk itu.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad, manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Muhdalena dari Kota Damansara, Petaling Jaya dituduh melakukan kedua-dua tuduhan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Kafli Che Ali menetapkan 29 Ogos untuk sebutan kes dan membenarkan Muhdalena diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Isnin lepas, Khalil Afandi, yang mengaku dirinya Imam Mahadi dan Muhdalina yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital yang sama.