klpost

Wanita dihalang masuk New Zealand

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Sembilan wanita yang dihalang memasuki New Zealand, Mei lalu, dalam dilema dan meminta pihak berkenaan segera membantu supaya nama mereka dikeluarkan daripada senarai hitam oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Ng Koay Yew, 36, berkata, dia bersama lapan rakannya dihalang mendaftar masuk untuk menaiki penerbangan dari terminal penerbangan kos rendah ke Christchurch, 11 Mei lalu.

Menurutnya, mereka ke negara itu untuk lawatan tujuh hari, tetapi terkejut didakwa dikaitkan aktiviti penyeludupan manusia di sana.

“Kami juga didakwa ke sana untuk tinggal dan bekerja, sebaliknya kami hanya mahu melancong ke negara berkenaan.

“Kami mahu nama dibersihkan daripada senarai hitam kerana ini kali pertama kunjungan ke New Zealand,” katanya pada sidang media di pejabat MCA, Ampang di sini, semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan rakan di New Zealand mengenai kejadian yang menimpa mereka sejurus dipaparkan dalam media negara itu.

Menurutnya, berikutan insiden itu pada Jun lalu, mereka membuat aduan di pejabat MCA dan seterusnya bertemu dengan Timbalan Menteri Luar Negeri, A Kohilan Pillay, minggu lalu, bagi mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam untuk ke luar negara.

“Beliau (Kohilan) kecewa dengan kejadian yang menimpa kami dan akan membantu membersihkan nama daripada senarai hitam,” katanya.

Koay Yew berkata, pakej pelancongan yang disertai mereka adalah melalui seorang ejen.

Menurutnya, akibat kejadian itu, setiap mereka kerugian RM5,000 dan hidup dalam tanda tanya akibat nama yang disenaraihitamkan tanpa sebab.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong turut menasihatkan orang ramai untuk memilih ejen pelancongan yang berkualiti bagi mengelakkan daripada ditipu. – SH