klpost

Video seks Anwar Ibrahim bernilai RM500juta

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan mendedahkan beliau telah didatangi ‘orang tengah’ yang kemudian memujuknya supaya memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas segala kritikan dan dakwaan yang telah dibuat oleh beliau selama ini.

Bagaimanapun, Nallakaruppan yang juga bekas sahabat karib ketua pembangkang selama lebih 30 tahun berkata, jika ditawar RM500 juta sekalipun beliau tidak akan berganjak daripada pendirian Anwar tidak layak untuk mengetuai pembangkang apatah lagi menjadi Perdana Menteri.

Katanya, sudah lebih 30 tahun beliau berdosa kepada rakyat Malaysia kerana sanggup bersekongkol dengan menutup sisi gelap Anwar sehingga menyebabkan ramai rakyat tertipu dengan imej Islamik ketua pembangkang itu tetapi kini, berjanji mendedahkan segala salah laku moral pemimpin tersebut demi negara.

“Saya mengesahkan ada ‘orang tengah’ datang memujuk saya. Dia mahu saya berhenti menentang Anwar khususnya dalam isu berkenaan kerana tahu riwayat politik Anwar akan berakhir jika kes itu dibicarakan. Mereka sedar saya mengetahui segala rahsia sulit Anwar dan memiliki bukti kukuh dalam bentuk video.

“Mereka tidak mahu video itu ditayangkan di mahkamah kerana ia melibatkan dakwaan skandal dengan isteri orang, sebab itu mereka takut. Saya ingin nasihatkan, tak perlu hantar ‘orang tengah’ untuk memujuk kerana jika sekalipun ditawar RM500 juta, saya tidak akan berganjak dengan pendirian saya sebelum ini.

“Saya akan lakukan segala-galanya demi negara kerana cukup sedar Anwar dari segi moral memang tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri. Saya akan menyedarkan rakyat Malaysia bahawa selama ini mereka semua tertipu dengan imej Islamik Anwar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nallakaruppan menggesa Anwar supaya berhenti menipu rakyat khususnya penduduk Sabah sempena Ramadan dan berharap bekas sahabat karibnya itu menggunakan kemuliaan Ramadan untuk menyuci segala dosa silam dengan bertaubat sebelum terlambat.

Menurutnya, walaupun Anwar mencanang lebih ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah akan berpaling tadah kepada pakatan selepas Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing, rakyat Malaysia masih tidak lupa bagaimana ketua pembangkang itu menipu mengenai tarikh 16 September.

“Dalam usia sekarang, Anwar sepatutnya memikirkan kepentingan negara berbanding cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri kerana ketua pembangkang bukan tandingan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada dalam isu moral, ideologi mahu pun tahap sokongan dalam kalangan rakyat,” katanya – Utusan