SK

Usul penjualan dokumen sulit TLDM ditolak oleh Dewan Rakyat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR, (11 JUN) : Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul dua MP Pakatan Rakyat, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) bagi membincang usul penjualan maklumat pertahanan negara dalam kes Kapal Selam Scorpene kepada DCNS Perancis yang di dedahkan SUARAM baru-baru ini.

Usul yang dibawa mendesak agar kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan Malaysia menjelaskan secara terperinci berkenaan isu komisyen dan penjualan dokumen rasmi sulit dalam kes penjualan Kapal Selam Scorpene seperti yang didakwa SUARAM di Bangkok pada 30 Mei yang dikatakan menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Berdasarkan jawapan yang diterima Izzah dan Datuk Johari, usul ini ditolak dibawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(h).

Peraturan berkenaan merujuk sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau mendapat penyelesaian berkenaan dengan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau kerana hendak menjawab soalan dalam perkara yang dimisal-misalkan.

Menurut Izzah, dokumen sulit penilaian Tentera Laut Di Raja Malaysia tersebut didakwa telah ‘dijual’ oleh syarikat Terasasi (Hong Kong) Ltd kepada sebuah Syarikat Pertahanan Perancis, Palace International.

Terasasi dimiliki oleh Malim Baginda dan Abdul Razak Baginda yang berindak sebagai pengarah syarikat berkenaan. – selangorku

“Ketika mereka (pihak berkuasa Perancis) serbu, ke pejabat Palace International yang menjual bahan-bahan pertahanan menjumpai dokumen sulit Tentera Laut Di Raja Malaysia yang dijual kepada mereka (Palace) oleh Terasasi dengan harga 36 juta Euro.

“Bila perkara ini tidak dibahaskan di Parlimen, ini suatu yang mengecewakan,” katanya di lobi Parlimen.

Katanya lagi, perkara ini akan terus disebut dalam sesi penggulungan selain laporan polis yang akan dibuat oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkait dengan kebocoran maklumat negara.

Sementara itu, MP Sungai Petani, Datuk Johari pula mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini secara proaktif.

Katanya, isu komisyen Scorpene ini bukan sahaja dibincangkan di Asia Tenggara malah menjadi topik hangat di Parlimen Malta.

Isu Scorpene menjadi bualan hangat ekoran kematian seorang wanita Mongolia, Altantuya Sharibbu.

Turut hadir sama, MP Batu, Tian Chua dan bekas anggota tentera yang menganggotai KERABAT.