klpost

Usaha memurtadkan Tunku Abdul Rahman

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Setiap kali tiba Hari Merdeka yang baru kita sambut pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia, yang akan kita raikan lusa, nama Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, pasti menjadi ingatan.
Dalam ruangan minggu ini, saya ingin berkongsi secebis kisah Tunku, bukan mengenai sejarah tetapi usaha yang pernah dibuat untuk memurtadkan beliau.

Semasa belajar di England sekitar 1920-an, Tunku tinggal dengan keluarga Rev Vigers, seorang clergy di Rectory, Little Stukely di Huntingdon – tempat asal Robin Hood. Namun, sepanjang bersama keluarga ini, tidak pula paderi Kristian ini cuba mempengaruhi Tunku untuk menukar agama atau menjadi seorang Kristian.

Malah, perkara yang paling diingati Tunku ketika tinggal bersama keluarga angkatnya ialah bagaimana dia mula belajar hisap rokok, berpunca daripada pengaruh Rev Vigers,  seorang yang kuat hisap paip sehingga hitam giginya manakala isterinya, Margaret, seorang chain-smoker yang tegar.

Orang yang cuba memurtadkan Tunku ialah Basil Atkinson, iaitu tutornya sendiri semasa beliau dalam persediaan mengambil peperiksaan untuk masuk ke Universiti Cambridge (atau dipanggil Little go), Tunku juga pernah tinggal dengan Basil, anak seorang bekas archdeacon, di rumah No 11, Grange Road di Cambridge.

Basil pernah memberi Tunku senaskhah kitab al-Quran yang diterjemah oleh Dr Sale, tujuannya ialah supaya Tunku membaca hujah-hujah kenapa Islam perlu ditolak.

Mujurnya, Tunku pernah membaca terjemahan ini dan mendapati, ia adalah terjemahan yang cukup buruk kerana terdapat banyak kesalahan, hujah merapu dan mengandungi komentar berniat jahat serta menghina Islam. Ini kerana Dr Sale sendiri tidak memahami bahasa Arab.

Terjemahannya adalah berdasarkan buku-buku yang beliau baca dan persepsinya sendiri yang tidak objektif. Boleh dikatakan pada waktu itu, persepsi semua pengkaji agama di Barat terhadap Islam dan kandungan al-Quran sangat negatif.

Dalam terjemahannya, Dr Sale menggambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi palsu. Menurutnya, Nabi Muhammad belajar prinsip-prinsip asas agama daripada seorang Kristian yang ditemui Baginda di pasar.

Jelas kepada Tunku bahawa penterjemah itulah yang sebenarnya palsu kerana gagal memahami bagaimana seorang miskin yang buta huruf dan penggembala kambing dapat menerima, menghafal dan melafazkan ribuan ayat sempurna yang kemudian dikumpul dalam sebuah kitab bernama al-Quran.

Dr Sale tidak faham apa itu wahyu. Mustahil seorang nabi palsu dapat mempertahankan ajarannya lebih 1,400 tahun, malah agama Islam hari ini merupakan agama yang paling pesat berkembang di dunia.

Kerana tinggal bersama, Basil ada membawa Tunku ke gereja pada hari Ahad. Beliau mahu Tunku membiasakan diri dengan rutin seorang penganut Kristian serta mendalami agama itu.

Pada suatu hari, sepulangnya mereka dari gereja, Basil bertanya Tunku mengenai pengalamannya ke gereja dan perasaan beliau tentang agama Kristian. Jawab Tunku, pengalaman itu sangat berbeza dengan pengalaman beliau pergi ke masjid, terutama cara pengabdian kepada Tuhan.

Orang Islam, jelas Tunku, akan rukuk dan sujud dengan dahi dan kedua-dua tapak tangan dilantai kerana akur dengan kekuasaan ALLAH Yang Maha Esa. Ini dilakukan secara senyap dan tertib, secara bersendirian atau dalam jemaah, orang Islam tidak duduk di kerusi selesa, sambil menyanyi dengan iringan muzik dan suara latar budak-budak choir.

Kata Tunku lagi, orang Islam bersolat lima kali dalam sehari, sama ada di rumah atau ke masjid, bukan sekali seminggu di gereja seperti amalan penganut Kristian.

Lebih meyakinkan, bagi seseorang Muslim, semua mereka yang seagama dengannya adalah bersaudara, tidak kira bangsa, warna kulit atau asal-usul. Mendengar jawapan Tunku, Basil tidak lagi mengajak Tunku ke gereja. (Buku Challenging Times, Cetakan ke-2, 2007: hal 111-112)

Peranan Tunku dalam perkembangan agama Islam, kerjasama antara negara-negara Islam serta dakwah dan kebajikan Muslimin sangat besar. Melalui Perkim dan Riseap, ramai orang bukan Islam memeluk agama Islam. Kedua-dua badan ini memainkan peranan aktif mengembangkan mesej dan dakwah Islam sebelum wujudnya agensi-agensi dan NGO Islam yang ada pada hari ini.

Tunku juga bertanggungjawab memulakan pertandingan musabaqah al-Quran, pada mulanya dalam kalangan ahli Umno di Johor dan Kedah sehingga menjadi pertandingan di peringkat nasional, yang biasanya dimenangi qari dan qariah dari Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pertandingan membaca al-Quran ini kemudian menarik perhatian dunia Islam dan berkembang menjadi pertandingan antarabangsa yang menaikkan nama Malaysia di mata dunia Islam.

Tunku juga ialah pengasas Bank Pembangunan Islam dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Sekretariat Negara-Negara Islam di Jeddah sebelum beliau meninggal dunia. – SH