klpost

Universiti Adelaide – Wanita pelajar terbaik dari Malaysia

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Adelaide: Tiga pelajar wanita dari University of Adelaide, memenangi tiga daripada empat hadiah yang ditawarkan kepada pelajar terbaik Malaysia yang belajar di universiti di Australia Selatan (SA).

Mereka ialah Faustina Niap Chai Foong dari Muar, Johor; Leong Su Ling dari Klang, Selangor; dan Musfirah Syahira Musa dari Kapar, Selangor.

 Hadiah keempat dimenangi pelajar University of South Australia, Danial Fahmi Mohd Zamberi dari Puchong, Selangor.

Setiap tahun Majlis Perniagaan Australia-Malaysia, Cawangan SA, memberikan anugerah kepada tiga pelajar terbaik Malaysia di sini, tetapi tahun ini tempat kedua dikongsi oleh Su Ling dan Musfirah Syahira.

Tahun lalu, ketiga-tiga anugerah dimenangi pelajar wanita.

Terima trofi dan wang tunai
Chai Foong, yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana Muda Sains (pra-veterinar), muncul pelajar paling cemerlang tahun ini dengan memenangi Trofi Sir Eric Neal, sebuah iPad dan A$1,500 (RM4,845).

Musfirah Syahira, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Kejuruteraan (Petroleum) dan Su Ling, pelajar Sarjana Muda Kesusasteraan, masing-masing menerima trofi dan A$1,000 (RM3,230), manakala Danial Fahmi, pelajar Sarjana Muda Kewangan Gunaan, menerima trofi dan A$750 (RM2,422).

Anugerah disampaikan oleh Sir Eric Neal, bekas Gabenor Australia Selatan dan penaung AMBC, Cawangan SA pada majlis makan malam di sini, Sabtu lalu.

Majlis dihadiri 280 tetamu termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Salman Ahmad; ketua kerajaan Australia Selatan, Jay Weatherill; Datuk Bandar Adelaide, Stephen Yarwood; Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Melbourne, Choong Kai Wai; pemimpin perniagaan dan profesional serta pelajar Malaysia.

Presiden AMBC SA, Sathish Dasan, berkata pemberian anugerah itu bertujuan ‘mengenal pasti, membimbing dan memupuk duta perniagaan generasi akan datang” tanpa mengira mereka tinggal di Australia atau kembali ke Malaysia.

“Adalah menjadi harapan kami bahawa dalam menggalakkan kepemimpinan dan kecemerlangan, kami akan melabur dalam kemakmuran ekonomi Australia Selatan dan juga Malaysia,” kata Sathish, yang juga seorang peguam di Adelaide. – BERNAMA