klpost

Undi Cina faktor penentu PRU13 – Pengundi cina TOLAK HUDUD

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

BANYAK pihak mengakui bahawa undi cina akan menjadi faktor penentu dalam pilihanraya akan datang. Bukti kepada kenyataan tersebut boleh dilihat dalam pilihanraya Bukit Gantang pada 2009 bila lebih 2,000 undi dari kawasan Kuala Sepetang (100% cina) memihak kepada PAS.

Seterusnya membolehkan Datuk Seri Nizar Jamaludin menang dalam pilihanraya tersebut.

Keadaan itu dijangka berterusan dalam pilihanraya umum akan datang. Pakatan Rakyat dijangka menang di kawasan yang mempunyai pecahan pengundi seimbang antara Melayu dan bukan Melayu, lebih baik lagi kalau bukan Melayu itu dikuasai kaum cina.

Pendek kata undi cina penting, malah kalau tidak keterlaluan untuk disebut disini, sangat-sangat penting dalam memastikan kelancaran laluan ke Putrajaya.

Tapi sekarang ramai orang bimbang bila PAS mula bercakap soal hudud, bukan setakat bercakap malah berjanji mahu melaksanakannya kalau Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan.

Soal hudud ini sudah terbukti di tolak di kalangan orang cina, usah kata nak bersetuju menyokong, kelihatan menyokong saja pun sudah boleh menyebabkan masalah yang lebih besar.

Inilah yang berlaku pada pilihanraya umum 1999 bila ramai pemimpin utama DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh tumbang di kawasan masing-masing kerana DAP pada waktu itu ‘kelihatan’ menyokong perjuangan PAS untuk menegakkan hudud.

DAP walaupun sebuah parti berbilang kaum tapi didominasi oleh orang cina seperti mana Gerakan dalam BN.

BN pula sebaliknya memperolehi laba besar akibat dari persepsi ini, disebalik kehilangan sokongan orang Melayu akibat pemecatan dan pendakwaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim setahun sebelumnya.

Kebimbangan ini sebenarnya berasas kerana kajian Merdeka Center baru-baru ini mendapati sokongan orang cina terhadap BN melonjak dari 30% kepada 47%!!

Walaupun tidak ada perincian tapi penulis yakin penurunan ini ada kaitan dengan isu hudud yang ditimbulkan PAS. Kalau ini bukan masanya untuk menekan butang panik, penulis tidak tahu bila lagi yang sesuai.

PAS perlu sedar atau disedarkan bahawa apa pun alasan untuk mewajarkan perlaksanaan hudud sudah terbukti tidak akan diterima oleh orang cina, walaupun pemimpin PAS berkata hudud hanya akan dilaksanakan di kalangan orang Islam sahaja.

Dalam hal ini penulis melihat campur tangan Datuk Seri Anwar itu penting untuk menjernihkan semua salah faham yang timbul dari polemik politik yang disebabkan oleh hudud ini.

Kenyataan Anwar sebelum ini yang tidak melarang pemimpin-pemimpin PAS dari bercakap soal hudud telah menjadi ‘lesen besar’ kepada mereka untuk terus memperkatakan soal ini dan mengelirukan lagi rakyat bukan Islam.

Anwar perlu tegas, menolak perlaksanaan hudud, barulah ada ketenangan.

Dalam masa yang sama, penulis benar-benar berharap agar PAS memikirkan semasak-masaknya cadangan penulis semalam untuk menggugurkan tuntutan melaksanakan hudud setelah kerajaan Pakatan Rakyat memerintah – buat selama-lamanya.

Kalau nak cakap sangat pun, cakap sajalah di kalangan ahli-ahli PAS sahaja, tidak perlu sampai ke luar, apatah lagi menjadi topik debat kerana akibatnya jelas membinasakan Pakatan Rakyat.

Kita tidak mampu kehilangan waima sedikit pun sokongan dari orang cina, itu hakikatnya. – Suara Pakatan Rakyat