SK

UMNO Siap Sedia Gempur Pembangkang – PM

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan bahawa UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13, tetapi mengakui masih ada lagi ruang yang perlu ditambahbaik selagi PRU belum diumumkan.

Katanya, ahli-ahli UMNO khususnya di peringkat akar umbi perlu memainkan peranan dengan memahami penekanan mengaplikasikan betapa pentingnya pelaksanaan kerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga.

“Kita bukan saja perlu mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua keadaan dan kita mesti melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah parti pembangkang dan bukanlah sesama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Umno-Online di pejabatnya sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-66. Presiden UMNO ditemubual oleh Ketua Pengarang umno-online, Kamal Zailani dan Editor Berita, Ropikah Ahmad.

Najib menegaskan, dalam suasana berhadapan dengan pilihan raya ini, setiap anggota mestilah memastikan bahawa persengketaan sesama ahli diketepikan dan menjurus perhatian sepenuhnya kepada usaha untuk memastikan bahawa jentera UMNO berpadu dan boleh bergerak lancar dan sentiasa bersemangat.

“Kita mesti meletakkan dalam fikiran dan juga mind set anggota-anggota parti kita yang berjumlah 3.3 juta menumpu kepada usaha yang boleh dilakukan setiap daripada kita, tidak semestinya kita ini merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di peringkat bahagian tapi kita sebagai ahli biasa mempunyai nilai undi pada kita, sebab ada kalanya ada juga ahli UMNO yang tidak mengundi waktu pilihan raya, jadi kita mesti pastikan bahawa setiap daripada 3.3 juta ahli UMNO ada peranan masing-masing.

“UMNO sebenarnya sudah berjaya sebab kalau kita lihat pada peringkat awal semangat untuk menentang Malayan Union, semangat untuk memerdekakan negara kita, masa itu tidak ada sesiapa persoalkan tentang kelemahan UMNO ataupun permasalahan dalaman UMNO sebab perjuangan kita satu saja, kita nak bagaimanapun UMNO mesti merupakan pelopor kepada kemerdekaan negara kita,” katanya.

Katanya, peringkat awal perjuangan UMNO berpandu kepada satu matlamat saja tapi bila sistem nilai telah dicampuraduk dengan soal kepentingan untuk merebut jawatan dan sedikit sebanyak soal politik wang melanda parti kerana persaingan bertambah sengit dan sebagai sebuah parti telah berjaya membangunkan negara, maka matlamat itu telah dicampuraduk dengan soal kepentingan diri dan sebagainya.

“Inilah yang mesti kita hindari kerana sebagai sebuah parti yang telah lama wujud, terlalu besar nilai dan jasanya, tapi pengundi hari ini tidak akan melihat kepada kegemilangan dalam sejarah tetapi mereka nak tahu apa perjuangan kita masa kini dan akan datang. Oleh itu kita tak boleh bersandar kepada nilai sejarah sahaja tapi kita mesti melihat UMNO kepada konteks masa kini dan akan datang.

“Inilah yang saya nak tekankan supaya setiap pemimpin UMNO mesti menghayati dan mencerminkan nilai-nilai kepimpinan yang disenangi oleh rakyat, dengan itu rakyat akan memberi sokongan yang padu kepada UMNO dan BN.”

Dalam masa yang sama, beliau turut membidas pakatan pembangkang yang hanya pandai menaburkan janji-janji manis kepada rakyat untuk mendapatkan kuasa sebagaimana dalam kempen PRU ke-12 lalu dan ini memang berbeza dengan apa yang direalitikan oleh BN.

“Kita kena sedar bahawa pembangkang cuba mengelirukan rakyat dan perkara ini sedang dilakukan dengan begitu hebat. Mereka akan cuba putar apa-apa isu kita, mereka akan cuba buat spinning negative, malah pembohongan akan mereka lakukan untuk menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Umpamanya apabila kita buat BR1M yang begitu popular, maka mereka kata ‘duit ini kita gunakan wang yang dipinjam dari luar negara’, itu satu dakwaan yang tidak bertanggungjawab sama sekali. Sebab itu merupakan satu dakwaan palsu sedangkan kejayaan kita melaksanakan BR1M adalah kerana kita berjaya menambahkan hasil negara sebanyak 26 bilion dalam masa setahun saja yang merupakan pencapaian tertinggi oleh kerajaan tapi pencapaian itu tidak diberi kredit, tidak diberi penghargaan oleh mereka.”

“BN merupakan satu pakatan yang berpaksi kepada realiti dan hakikat. Kita tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada sandiwara yang besar yang dilakukan oleh pembangkang sehingga ke hari ini walaupun empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi membentuk shadow cabinet dalam pembangkang walaupun mereka war-warkan nak wujudkan two party system dalam negara kita tetapi mereka gagal untuk memaparkan kepada rakyat satu kabinet bayangan.”

Berkaitan dengan ulang tahun UMNO yang disambut secara besar-besaran, katanya, hari jadi UMNO yang ke-66 ini satu ketika yang amat sesuai kerana parti tersebut sudah lama tidak mengadakan perhimpunan raksasa sedemikian.

“Saya melihat Hari UMNO, hari jadi UMNO yang ke-66 ini maknanya timely, masanya sesuai untuk kita dan semua orang tahu bahawa pilihan raya tak lama lagi jadi eloklah kita paparkan kepada rakyat apakah jasa UMNO selama ini, kekuatan kepada UMNO itu mestilah kita perlihatkan dan kita mesti menunjukkan bahawa kita buat satu perhimpunan dalam keadaan yang aman.

“Kita menghormati undang-undang negara kita walaupun ribuan ahli UMNO akan berhimpun tetapi ia tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, kepada negara kita. UMNO akan bersikap menjunjung prinsip undang-undang negara kita ini, keluhuran Perlembagaan dan undang-undang.”

Beliau turut mengingatkan kepada anggota parti bahawa UMNO bahawa adalah satu parti keramat orang Melayu yang mesti terus diingati dan bangga menjadi sebahagian daripadanya.

“Kita mesti ada rasa kebanggaan tentang UMNO kerana kita menjadi ahli kepada keluarga sebuah parti yang terbesar dalam negara kita, jangan kita rasa terhina, jangan kita rasa tertekan bahawa segala-gala yang dikecapi oleh negara ini bahawa pada hakikatnya adalah jasa yang disumbangkan oleh UMNO, oleh pemimpin-pemimpin UMNO, besar dan kecil selama ini.

Source :- Umno Online

“Kita mesti menganggap bahawa perhimpunan raksasa ini adalah perhimpunan ini adalah tanda kekuatan kita dan kita akan mara ke hadapan dengan satu barisan yang ampuh, dengan komitmen yang jitu dan insya-Allah berbekalkan semangat yang baru ini kita akan mencapai kemenangan yang besar dalam pilihan raya akan datang,” tegasnya lagi.