klpost2

UMNO – ‘Guan Eng gagal memahami hati Melayu Islam’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM  –  Umno mengingatkan DAP agar tidak lagi mendesak kalimah ALLAH dibenar dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu kerana dibimbangi menimbulkan ketegangan dalam negara.

Ahli Majlis Tertingginya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tuntutan DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dalam mesej sempena sambutan Krismas semalam boleh diragui, tidak ikhlas dan bersifat provokatif.

Menurutnya, demi kepentingan undi sesuatu kaum atau agama, tuntutan seperti itu tidak perlu kerana isu ini sensitif malah turut melibatkan mahkamah.

“Mengenali sifat Guan Eng sebagai street fighter, beliau sebenarnya gagal memahami kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Tuntutan ini juga menunjukkan Guan Eng tidak faham perasaan orang Islam.

“Selamanya Guan Eng tidak ada perasaan untuk memahami hati nurani orang Melayu Islam,” katanya.

Katanya, Guan Eng tidak sepatutnya merosakkan suasana Krismas dengan tuntutan yang boleh renggangkan hubungan antara agama seperti itu.

Katanya, Guan Eng perlu selesai dahulu masalah dan janji masih belum ditunai di Pulau Pinang kerana itu lebih diperlukan berbanding bangkitkan isu sensitif sebegini.

“Beliau jangan alih perhatian rakyat daripada isu seperti pemilikan tanah pembalakan dua pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, isu kalimah ALLAH berani dibangkitkan semula DAP kerana sikap sekutu mereka, Pas yang berdiam diri.

“DAP tidak hormati orang Islam, sebab itu tiada seorang Melayu dipilih dalam pemilihan parti mereka baru-baru ini. Sekarang mereka mahu guna nama ALLAH, lepas ini apa pula diminta?

“Rakyat perlu nilai dan buat keputusan sewajarnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula menegaskan, DAP jangan berani timbulkan isu kalimah ALLAH kerana ia adalah isu lama dan sensitif.  -sinarharian