klpost

Tular: Polis siasat punca dan motif kematian remaja

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Melaka
– Polis masih menjalankan sisatan berhubung punca kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikejarkan ke Hospital Melaka pada Isnin lalu yang dikaitkan dengan tular di laman sosial sejak beberapa hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kematian tersebut bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Pihak polis akan membuat siasatan rapi dan masih belum mengenal pasti sebab dan motif sebenar kejadian dan kaitanya dengan tular yang tersebar di laman sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejak semalam tersebar di laman sosial, video kejadian seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Tangkak, Johor yang didakwa dipukul hingga mati oleh bapa saudaranya kerana disyaki mencuri wang milik datuknya.

Kamaluddin berkata pihaknya meminta kerjasama perakam video tersebut tampil membantu pihak polis bagi menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung rakaman dan kejadian tersebut turut sama diminta untuk memberi kerjasama.

Beliau berkata, pada Isnin lepas, orang awam menghantar remaja berkenaan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan awal polis mendapati bahawa remaja malang tersebut dibawa oleh dua lelaki dewasa ke Hospital Melaka kira-kira pukul 9.45 malam setelah menemui remaja berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah perhentian bas di Ayer Keroh.

Kamaluddin berkata, hasil pemeriksaan mendapati bahawa terdapat beberapa kecederaan dan kesan lebam lama di beberapa bahagian badan.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta untuk menghentikan tular tersebut kerana ia masih dalam siasatan polis. – Bernama