klpost

Tugas saya masih belum selesai

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Bangkok  –  Walaupun menerima pelbagai desakan daripada penyokong Harimau Malaya, jurulatihnya, Datuk K Rajagobal tidak akan melepaskan jawatan kerana menganggap tugasnya masih belum selesai dan mahu terus membimbing skuad itu menghadapi Kelayakan Piala Asia 2015 yang bermula 6 Februari depan.

Setakat ini, tidak terlintas pada fikiran pengendali berusia 56 tahun itu untuk berbuat demikian selepas kegagalannya membawa Harimau Malaya ke final Piala Suzuki AFF 2012 apabila tewas 2-0 kepada Thailand pada separuh akhir kedua di Bangkok, malam kelmarin.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, persiapan utama kita ialah untuk Kelayakan Piala Asia 2015.

“Saya masih ada kontrak sehingga penghujung 2013…dan semuanya terserah kepada majikan saya iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya ketika ditemui bersama Berita Harian di lobi Hotel Golden Tulip Sovereign sebelum berlepas pulang ke tanah air, pagi semalam.

Sebelum dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada 2010, Rajagobal berjaya membawa skuad Bawah 23 Tahun negara meraih pingat emas Sukan SEA 2009.

Beliau yang membimbing Harimau Malaya kemudian membantu skuad itu menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Selepas dua kejayaan cemerlang itu, pengendali skuad kebangsaan itu gagal meraih sebarang kejuaraan selain kandas pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 kepada Singapura pada 2011.

Ini tidak termasuk keputusan pada perlawanan persahabatan antarabangsa yang berakhir dengan kekalahan skuad itu.