klpost

Tuduhan Islam sebagai agama ganas

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

Kuala Lumpur – Mungkin ada antara kita yang tidak sedar bahawa persepsi wujud dalam dua keadaan yang berbeza. Itu berlaku dalam keadaan timbal-balik. Tumbangnya menara World Trade Centre di Amerika Syarikat pada 2001 menimbulkan dua persepsi yang bertentangan.

Dari satu sudut, ia dijustifikasikan sebagai gelombang kebangkitan Islam oleh sekelompok Muslim konservatif yang melihat keganasan sebagai jalan keluar. Seolah-olah runtuhnya WTC menyembah bumi dilihat sebagai kebangkitan ummah. Mereka tidak peduli sama ada ratusan juta umat Islam lain tidak menyokong kekejaman tersebut.

Dari sudut lain pula, peristiwa pada 11 September itu dijadikan alasan untuk kelompok konservatif Barat, termasuk segelintir Kristian, untuk menuduh Islam sebagai agama yang ganas, bengis dan menakutkan. Apalagi Amerika Syarikat ketika itu di bawah pentadbiran George W. Bush yang memang dibayangi dosa korban rakyat Iraq serta jambang dan serban Osama Bin Laden.

Tragedi 911 memaparkan bukti berlakunya perubahan pemikiran (mutasi) hasil dari persoalan ‘apa itu Islam’ yang timbul akibat publisiti yang ekstrem terhadap pengganas yang ekstrem. Walau pun masih ada masyarakat Barat yang benci Islam, makin ramai pula yang kini berlumba-lumba untuk mengenali lebih dekat kepada Islam setelah menyedari persepsi negatif maha dahsyat terhasil akibat serangan tersebut telah menimbulkan ketegangan di antara Muslim dan bukan Muslim.

Ramai di Barat semakin menyedari Islam itu memperjuangkan keadilan, mempertahankan hak asasi, dan dalam konteks hari ini, tidak menentang, malah banyak persamaan dengan demokrasi, kedaulatan undang-undang (rule of law) dan urus tadbir baik (good governance). Malah ramai sudah sedar Islam menentang rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan perkauman (assibiyah). – Roketkini

Oleh : Hafiz Zainuddin