klpost

Tuduhan bilik kebal bolos tidak berasas – Pengarah PTG

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Tuduhan bilik kebal bolos tidak berasas - Pengarah PTG
Johor Baharu
– Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor menafikan berlaku pembolosan dan kehilangan dokumen pemilikan tanah seperti dilaporkan pihak tertentu kebelakangan ini.

Isu berkaitan keselamatan bilik kebal PTG mendapat perhatian pelbagai pihak sejak polis menahan beberapa individu, disyaki terbabit dalam urusan yang diragui berkaitan hartanah di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Halim Hasbullah berkata, malah tidak terdapat sebarang kehilangan dokumen pemilikan tanah sebagaimana yang dilaporkan oleh pihak tertentu.

“PTG Johor sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya termasuk mematuhi segala prosedur yang ditetapkan bagi semua urusan tanah di Pentadbiran Tanah Johor.

“PTG Johor juga memberi jaminan bahawa dokumen hakmilik tanah Pendaftar yang disimpan di semua Bilik Kebal Pentadbiran Tanah Johor adalah berada dalam keadaan selamat dari sebarang pencerobohan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas isu berkaitan keselamatan Bilik Kebal di PTG Johor telah mendapat perhatian pelbagai pihak sejak polis membuat tangkapan terhadap beberapa individu yang disyaki terlibat dalam urusan yang diragui berkaitan hartanah di negeri ini.

Berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh pemilik tanah yang terlibat, pentadbiran itu mendapati bahawa kes yang dimaksudkan adalah berkaitan pemalsuan dokumen dan terdapat unsur-unsur penipuan melibatkan urusniaga tanah yang pada masa ini, masih dalam siasatan pihak berkuasa.