klpost2

TPM – Integriti DAP tercabar? Guan Eng tolong jawab

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

TANJUNG MALIM – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesilapan pengiraan undi ketika pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bulan lepas tidak harus dianggap kecil kerana ia melibatkan soal integriti sebuah parti yang mendakwa mereka telus dan adil.

Timbalan Perdana Menteri berkata Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP perlu memperjelaskan apakah tindakan meminda keputusan itu, sekali gus mengembalikan wakil Melayu dalam CEC itu, disebabkan agenda tertentu dalam kalangan pemimpin parti itu.

“Walaupun ini mungkin perkara kecil tapi implikasinya amat besar, banyak orang boleh mempertikaikan integriti, kewibawaan serta ketelusan yang diperjuangkan DAP di mana Guan Eng kena jawab dan jelaskan.

“Mungkin ada agenda lain dalam DAP…mungkin, saya tak mahu nak tuduh tapi dalam banyak calon Melayu yang bertanding ini pula yang menang,” katanya merujuk kepada Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20, sekali gus terpilih sebagai anggota CEC.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri majlis makan tengahari bersama tenaga kerja Proton di Proton City di sini, semalam,

Muhyiddin berkata pindaan dan kiraan semula undi selepas sekian lama pemilihan berlalu adalah sesuatu yang aneh dan luar biasa, seolah-olah ada pihak yang mengarahkan ia dilakukan.

Beliau berkata senario terkini dalam DAP itu membuatkan ramai pihak tertawa sambil mempersoalkan bagaimana tindakan DAP yang pernah mempertikaikan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak telus kini terkena diri sendiri.

“Kini banyak yang orang persoalkan adalah adakah sistem pemilihan DAP itu telus dan adil, kalau yang satu itu boleh begitu, mungkinkah orang tidak pertikaikan semua 20 orang yang terpilih juga mungkin dengan sebab-sebab yang lain dan kerana itu ada pihak mengatakan pemilihan perlu diadakan semula.

“Saya bukan ahli DAP, saya tidak ada hak tetapi saya melihat bahawa kalau kita fikir DAP parti yang benar-benar adil dan telus, apa yang berlaku kini adalah gambaran sebenarnya parti itu,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat kini boleh menilai ketelusan DAP memperjuangkan integriti kerana jika perkara serupa dilakukan Umno, sudah tentu ia akan dijaja ke serata dunia.

Berbanding DAP, Umno sama sekali tidak akan melakukan pengiraan semula undi jika keputusan telah diumumkan.  – Bernama