klpost4

“Tolong berurusan degan peguam saya”

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA TERENGGANU  –  Ketua Penerangan Persatuan Felda Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Naraza Muda menyerahkan kepada peguamnya untuk bertindak berhubung insiden beliau ditahan dan diikat semasa konvoi Kembara Oren di Felda Kampung Awah, Sabtu lalu.

“Hal itu saya sudah serahkan kepada peguam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam kejadian tersebut, Naraza, merujuk pada kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Maran, Shamsuri Hussin dikatakan telah ditahan dan diikat pihak yang menghalang laluan konvoi berkenaan ketika mereka berada di Felda Kampung Awah.

Beliau dilaporkan turut dipukul ketika konvoi dalam perjalanan ke Felda Bukit Rokan Utara, Tampin, Negeri Sembilan pada hari berikutnya.

Menurut Naraza, apa jua yang berlaku, Anak akan tetap meneruskan perjuangan membela kepentingan warga Felda.

“Kami jelajah ke tanah rancangan edar risalah dan juga menggunakan kaedah rundingan menyatakan mesej perjuangan kami untuk kepentingan peneroka Felda dan juga waris mereka. Kami minta izin dahulu. Jika tidak dibenarkan, kami tak akan masuk.” katanya.

Namun apa yang berlaku dalam perjalanan ke Felda Bukit Rokan Utara, kata Naraza, beliau dipukul hingga cedera di bahagian kepala dan jatuh pengsan.

“Pada hari itu, konvoi bermula kira-kira jam 9 pagi, dengan destinasi pertama, Felda Kepis, Kuala Pilah diikuti Felda Bukit Rokan Barat di Jempol. Di Felda Kepis, kami dihalang hingga jadi kecoh. Kami cuba berunding tetapi gagal lalu meneruskan konvoi ke Bukit Rokan Barat di mana kami dihalang sekali lagi.”

Ketika cuba memasuki kawasan Felda Bukit Rokan Utara pula, kata Naraza, rombongannya dihalang lagi.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda kami cuba dirosakkan dan ketika saya cuba halang tindakan pihak berkenaan, topi saya terjatuh. Semasa tunduk untuk ambil topi itu, terasa ada benda tajam cucuk kepala, dua kali. Selepas itu, saya tak sedar apa-apa. Difahamkan, saya jatuh pengsan, dibawa ke klinik, kemudian ke Hospital Jempol,” katanya.

Naraza mengakui sudah buat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Menurutnya, misi pihaknya adalah untuk menghantar memorandum kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 28 Disember.

“Sudah banyak kali kami cuba nak hantar memo tetapi dihalang. Kali ini, jika dihalang juga, kami akan berkampung di situ,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Anak, Aris Fezol dalam satu kenyataan sebelum ini tidak menafikan serangan terhadap konvoi itu dilakukan di Negeri Sembilan kerana kedua-dua pengerusi dan Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad berasal dari negeri itu.