SK

Tindakan terhadap kes video klip VK Lingam

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR (11 Jun) : Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menempelak Umno BN kerana tidak mengambil tindakan terhadap kes video klip VK Lingam walaupun siasatan Suruhanjaya Diraja membuktikan adanya unsur rasuah dalam pelantikan hakim negara.

Ahli Biro Politik KEADILAN itu berkata, isu tersebut tidak boleh ditutup begitu sahaja kerana ia melibatkan kredibiliti dalam pelantikan hakim negara.
“Laporan Suruhanjaya amat jelas pihak yang dinamakan terlibat dalam amalan rasuah dan mempengaruhi pelantikan hakim. Syor yang jelas juga telah dibuat oleh anggota suruhanjaya itu.

“Beberapa tahun sudah berlalu, kenapa keputusan atau syor daripada suruhanjaya itu tidak dipedulikan?” soalnya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Sivarasa berkata, pihak yang terlibat seharusnya dikenakan tindakan tegas kerana mencemarkan institusi kehakiman.

“Ia memberi gambaran yang cukup negatif di kalangan rakyat mengenai kedudukan institusi kehakiman dan peranan peguam. Penilaian antarabangsa mengenai kehakiman di negara kita masih rendah.

“Salah satu puncanya adalah wujud campur tangan daripada pihak tertentu dalam pelantikan hakim,” katanya.
Pada 2008, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan skandal video VK Lingam.

Keputusan suruhanjaya tersebut mengesyorkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin; Peguam Kanan, Datuk VK Lingam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Adnan Mansor dan tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim.

Suruhanjaya itu juga mengesyorkan supaya mereka disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.

Bagaimanapun, Umno BN enggan mendakwa mereka yang terlibat kononnya siasatan tidak menunjukkan sebarang kes penyalahgunaan kuasa. -keadilandaily