klpost

Tindakan politik keatas Rafizi Ramli – Skandal Pemimpin negara

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius penahanan dan pendakwaan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah BAFIA (Akta Institusi Perbankan dan Kewangan) hari ini.

Bagi DPPM tangkapan ke atas Rafizi membuktikan kerajaan bersikap tidak ikhlas dan telus dalam memastikan negara ini bebas dari rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara.

Naib Ketua DPPM Dr Raja Ahmad Al Hiss menganggap tindakan ke atas Rafizi lebih dilihat sebagai tindakan politik pihak tertentu yang tersepit dan cemas dengan pelbagai pendedahan berani serta sensasi oleh beliau.

“Tindakan ini juga seperti suatu ancaman ke atas beliau ekoran kejayaan beliau mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) serta ugutan kepada pemberi-pemberi maklumat lain,

“supaya jangan memberi kerjasama kepada ‘whistle blower’ skandal pemimpin negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Rabu 1 Ogos.

Malah Raja Ahmad juga mempunyai siri-siri pendedahan skandal pemimpin negara yang mempunyai kepentingan terhadap projek tertentu serta terlibat dalam pelbagai penyelewengan.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh lebih utama dan penting berbanding tindakan beliau membocorkan maklumat.

Katanya, tindakan Rafizi wajar dipuji kerana usahanya memastikan negara ini bebas daripada penyangak-penyangak rasuah oleh pemimpin-pemimpin negara. Ternyata pendedahan beliau amat benar sehingga memaksa Datuk Seri Shahrizat Jalil melepaskan jawatan kabinetnya

Beliau berkata, DPPM menegaskan, negara ini menuju kemusnahan jika jenayah rasuah dibiarkan berleluasa manakala pemberi maklumat diambil tindakan.

“Politik dendam dan hasad dengan menghukum seseorang hanya kerana individu tersebut bercakap benar adalah tindakan keji golongan yang menolak kebenaran.

“Bagi rakyat, tindakan ini bukan melunturkan semangat mereka mahukan perubahan, malah menambah lagi sentimen kebencian mereka melihat kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin yang korup dan mementingkan diri sendiri,”tambahnya – Buletin Online