Administrator

Tiada lagi keperluan sekat Sarawak Report, Medium – MCMC

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tindakan untuk menyekat mana-mana laman sesawang adalah berpandukan kepada undang-undang negara dan demi ketenteraman awam.

MCMC dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam akaun facebooknya hari ini berkata, kandungan yang bersifat lucah, mempunyai unsur mengancam mahupun jelik akan disekat berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai.

“Bagaimanapun, sekatan yang dibuat akan diteliti semula dan jika sebab atau kriteria untuk menyekat tidak lagi terpakai. Sejajar dengan impak dan kesan semasa, maka sekatan tersebut akan ditarik balik. Dalam kes Sarawak Report dan Medium, tiada lagi keperluan untuk menyekat apabila laporan 1Malaysia Development Bhd menjadi umum,” tambah MCMC.

Pada Selasa lepas, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad mengumumkan pengauditan 1MDB yang dikelaskan sebagai Rahsia pada 22 Jan 2016 kini dikategorikan semula sebagai Dokumen Terbuka.

Jelas MCMC, dalam hal laman sesawang live.undi.info pula, aduan-aduan yang diterima daripada orang ramai antara lain mendakwa bahawa keputusan atau maklumat yang dipaparkan dalam laman berkenaan dilihat kurang tepat.

Bagaimanapun selepas meneliti semula kandungan-kandungan yang disiarkan, sekatan ditarik balik memandangkan kriteria-kriteria yang digunakan untuk proses sekatan sebelum ini sudah tidak terpakai dalam situasi semasa, kata MCMC. – Bernama