klpost

Teman lelaki mahu gambar dedah aurat gadis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

DANG Setia; saya baru saja putus hubungan. Saya rasa sangat kecewa. Kami berkenalan melalui laman sosial tiga tahun lalu. Baru-baru ini dia ada terbaca emel saya dengan bekas teman lelaki.

Padahal emel itu sudah bertahun lama. Dia kata hatinya sakit dan mungkin ia berpunca daripada perasaan cemburu. Saya sudah jelaskan segala kisah silam saya padanya. Mulanya dia boleh terima tetapi sebaik kami mula bergaduh dia akan mengungkit kembali isu emel terbabit.

Saya begitu menjaga maruah saya. Malah untuk berpegang tangan pun saya tidak benarkan. Ia bertujuan menjaga kehormatan dan batas hubungan mengikut batasan agama.

Saya begitu tertekan sebaik dia kerap melontarkan kata-kata kurang sopan dan tidak sedap didengari. Ia hanya kerana saya enggan memenuhi kehendak dia mahu saya hantar gambar mendedahkan aurat. Saya takut kerana memikirkan dosa-dosa saya sebelum ini.

Puas saya terangkan betapa saya tidak suka dengan sikapnya ini. Dia tidak faham kerana padanya itu bukti saya cintakan dia. Sedangkan saya cukup setia dan tindakan dia begitu inginkan gambar membuatkan saya terfikir adakah dia lelaki sesuai bagi saya. Hanya disebabkan saya tidak sanggup memberi gambar seperti dia mahu dia terus mengambil jalan singkat dengan meninggalkan saya. Saya benar-benar memerlukan nasihat Dang Setia.
MEEN
Sungai Udang, Melaka

Hubungan percintaan yang ideal adalah pasangan saling melengkapi bukannya menguasai mahupun perasaan ingin memiliki melebihi daripada apa yang agama bataskan.

Membayangkan diri Dang Setia berada di situasi saudari, penilaian Dang Setia tentu saja dia bukan lelaki sesuai kerana sikap teman lelaki saudari nyata tidak menghormati dan jauh sekali untuk memahami. Sehinggakan isu kecil yang mana dia sendiri sudah jelas situasinya masih mahu menghukum daripada mengambil posisi sebagai pendengar setia.

Malah si dia tidak mempunyai kriteria yang mana sesuai dipanggil pelindung kerana kerap melontarkan kata-kata kurang sopan serta meminta saudari melakukan yang boleh menjejaskan kehormatan diri.

Karakter kekasih saudari gambarkan lebih kepada sikap tidak bertanggungjawab dan kurang sesuai dijadikan sandaran berdasarkan Firman Allah dalam surah An Nisa’ ayat 34 yang bermaksud;

‘Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.’

Mungkin tindakan dia meninggalkan saudari itu punya hikmah yang lebih besar bertujuan memberikan lelaki lebih baik dan berpadanan buat saudari. Banyakkan muhasabah diri mengenai kebaikan sebalik hubungan terhenti di pertengahan jalan. Berusaha mendekatkan diri kepadaNya agar beroleh jodoh lebih baik kelak. – Metro

(Gambar hanya sebagai illustrasi sahaja)