klpost4

Tawaran = Manifesto. Bolehkah kerajaan PR menunaikan janji?

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

TEMERLOH  –   Pahang pada 9 Disember 2012 di Dataran Kerdau berjaya membina satu gelombang baru dalam politik Pahang kerana penganjurannya berbeza dengan HKR lain yang dianjurkan Pakatan Rakyat (PR).

Perbezaannya terserlah apabila di akhir perhimpunan tersebut diisytiharkan satu tawaran untuk rakyat negeri ini.

Sinar Harian mengambil kesempatan menemu ramah orang yang bertanggungjawab mengetuai HKR iaitu Dr Hamzah Jaaffar, merangkap Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang.

Apa rumusan Dr terhadap sambutan HKR tempoh hari?

Pertamanya saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada AJK HKR, pihak keselamatan dan juga rakyat yang hadir pada petang dan malam HKR diadakan.

Sambutan yang diterjemahkan menerusi kehadiran yang luar jangkaan itu menggambarkan rakyat sudah bersedia untuk membuat perubahan.

Walaupun pada malam tersebut terdapat perlawanan bola sepak antara Malaysia-Thailand tetapi rakyat telah memilih untuk mendengar amanat pimpinan PR sebagai persiapan bagi menghadapi perlawanan yang sengit antara PR-BN dalam PRU akan datang.

Apakah faktor mendorong kehadiran ramai?

Saya yakin kerana rakyat begitu teruja untuk mendengar tawaran Kerajaan Negeri dan Pusat untuk rakyat Pahang sekiranya PR berjaya memerintah. Saya ucap terima kasih kepada pihak media kerana membuat hebahan mengenai pengisytiharan tersebut.

Antara tawaran yang menarik perhatian ialah penyediaan lot rumah. Apakah maksudnya dan mampukah Kerajaan PR melaksanakannya?

Yang kita maksudkan adalah menyediakan lot rumah kepada mereka yang memerlukannya iaitu yang belum ada tapak rumah.

Mungkin satu 0.4 hektar boleh dibahagikan kepada lapan hingga 10 orang dan tentunya Kerajaan PR akan memberi keutamaan kepada anak muda yang telah berumah tangga dan berpendapatan rendah.

Sewaktu Pas perintah Terengganu pada 1999-2004, Kerajaan Pas berjaya menyediakan lebih 50,000 lot tanah. Manakala pada 2008, sebanyak 149,000 lot untuk rumah telah berjaya diwujudkan Kerajaan PR Perak meskipun hanya sempat memerintah selama 11 bulan.

Selain  itu, kita juga menawarkan penelitian terhadap permohonan tanah yang telah dibuat bertahun lamanya oleh rakyat Pahang.

Dalam hal ini, Kita telah buktikan di Terengganu di mana kita telah berjaya mengeluarkan geran tanah kepada pemohon di negeri itu yang telah memohon sekian lama bahkan ada yang melebihi 20 tahun lamanya tetapi tidak diluluskan oleh Kerajaan BN.

Jadi, kita tetap yakin bahawa kita mampu melaksanakan janji kita mengenai hal yang berkaitan dengan masalah tanah atau tapak rumah.

Bagaimana dengan tawaran menurunkan cukai pintu?

Kita hanya mahu turunkan cukai pintu bukannya hapus cukai pintu. Penurunan ini insya-Allah tidak memberi kesan kepada kewangan Kerajaan Negeri kerana kita yakin akan berlaku peningkatan pendapatan menerusi konsep ‘jimat cermat’ dan ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan nanti.

Antara hasil yang dijangka meningkat ialah hasil balak. Peningkatan ini pasti berlaku seperti meningkatnya hasil balak di Kedah dari RM8 juta setahun pada 2008 iaitu zaman BN kepada RM53 juta setahun pada 2010 iaitu zaman Kerajaan PR.

Di Selangor pula sebagai contoh menunjukkan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 mencatat peningkatan baki Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM1.944 bilion. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM 357.13 juta berbanding RM1.58 bilion pada 2010.

Peningkatan tersebut berlaku meskipun Kerajaan PR di Selangor melaksanakan pelbagai program meringankan beban rakyat seperti diskaun cukai pintu rumah kos rendah, pemberian air percuma 20 meter padu dan Jom Shopping.

Jadi rakyat jangan bimbang dengan tawaran penurunan cukai pintu. Ia tetap akan dilaksanakan Kerajaan PR. Insya-Allah kerajaan tidak akan bankrap.

Dalam buku Jingga juga ada tawaran penempatan generasi kedua dan ketiga yang layak menduduki Felda Plantation. Kenapa diulangi lagi tawaran itu?

Kita nak gambarkan bahawa kita serius menyelesaikan masalah generasi kedua dan ketiga Felda. Sebab itu kita ulang semula supaya rakyat ingat dengan tawaran kita itu.

Tambahan pula keluasan tanah Felda Plantation di Pahang adalah yang paling luas jika dibandingkan dengan di negeri lain iaitu sekitar 40 peratus.

PR juga menawarkan untuk bina jalan raya yang menghubungkan antara dua negeri.  Apa hubung kait dengan kepentingan rakyat?

Semua orang tahu bahawa kemajuan sesuatu tempat itu berkait rapat dengan sistem jalan raya. Kalau sistem jalan raya bagus maka baguslah kehidupan rakyat. Ekonomi akan berkembang dengan pantas sekiranya sistem jalan raya dibuat dengan terancang.

Jadi kita akan beri tumpuan kepada menaik taraf jalan raya yang menghubungkan Pahang-Johor, Pahang-Kelantan, Pahang-Terengganu dan Pahang-Negeri Sembilan.

Apa harapan Dr?

PR menjanjikan satu pertarungan sengit kali ini dalam PRU13 nanti. Justeru itu, sebagai pemain di arena politik di negeri ini, saya mengharapkan agar rakyat terus memberi sokongan padu kepada PR untuk menerajui Kerajaan Pahang selepas PRU13 nanti. Kalau rakyat boleh beri kepercayaan kepada Umno/BN menerajui negara dan negeri selama 55 tahun maka apa salahnya PR diberi peluang memerintah paling tidak untuk lima tahun bagi melihat perbezaan perkhidmatan antara BN–PR.