klpost

Suspek kes rogol remaja ditemui mati

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Misteri remaja 15 tahun yang mayatnya ditemui dalam terusan di Dalit, India, selepas dipercayai dirogol beramai-ramai dan diseksa semakin kusut apabila remaja lelaki berusia 18 tahun yang sebelum ini menjadi suspek utama, juga ditemui mati.

Mayat Gulshan, juga dari dari Dalit, yang sudah mereput ditemui semalam, dalam terusan yang sama di Jind, 100 kilometer dari kampung mereka selepas mayat remaja perempuan itu ditemui pada 13 Januari lalu.

Menurut laporan media India, ibu bapa kedua-dua remaja itu membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka pada 9 Januari lalu, namun polis kemudian mengesyaki Gulshan sebagai suspek utama dan berusaha mengesannya.

 Kedua-dua mereka dikatakan hilang ketika ke kelas tuisyen.

Ketua Polis Haryana, BS Sandhu, berkata punca kematian Gulshan ialah lemas dan tiada kesan kecederaan pada tubuhnya.

Polis menahan bapa dan dua abangnya untuk soal siasat namun, sudah dibebaskan.

Menurut Sandhu, ada ahli keluarga kedua-dua remaja itu menyembunyikan diri, termasuk ibu saudara remaja perempuan berkenaan yang dikatakan melihat kedua-dua mangsa pada 9 Januari.

Indian Express melaporkan, seorang penduduk berkata: “Remaja perempuan dan Gulshan dilihat oleh wanita itu berada dekat bangunan dalam pembinaan dekat rumah Gulshan dan dia menangkap mereka.

“Pada petangnya, kedua-dua remaja itu hilang dan ibu saudara berkenaan juga tidak kelihatan lagi di kampung,” kata seorang penduduk.

Menurut polis, Gulshan dan remaja perempuan itu sering berhubung antara satu sama lain sejak beberapa bulan lalu, termasuk pada hari mereka hilang.

Menurut Shandu pihaknya menyiasat kes itu dalam semua sudut dan teori.