klpost4

Suslan kemalangan maut PDRM

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

TELUK INTAN  –  “Saya hanya dengar jeritan ALLAHUAKBAR sebelum melihat kepala arwah sudah terkulai di bahu saya,” kata salah seorang mangsa kemalangan maut membabitkan empat anggota polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, kelmarin.

Insiden yang berlaku di Kilometer 112 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Klant Halt, Behrang kira-kira jam 8.10 malam itu mengorbankan seorang anggota berpangkat Lans Koperal, sementara tiga yang lain cedera.

Zamri Hashim yang memandu kereta jenis Proton Waja maut di tempat kejadian setelah kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

Rakan mangsa, Koperal Khairul Anuar Napi yang duduk di bahagian belakang pemandu parah sementara dua rakan lain, Asisten Superitendan Mahazir Ahmad dan Inspektor Mohd Khairul Azhar Abdul Halim cedera ringan.

Tugas rasmi lawatan TPM

Menceritakan detik itu, Mahazir, 36, berkata, ketika kejadian, mereka menjalankan tugas rasmi sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Parlimen Tanjung Malim, semalam.

Menurutnya, mereka berempat bertolak dari IPD kira-kira jam 6.45 petang dan sepanjang perjalanan ke Tanjung Malim, mereka hanya berbual sebelum arwah menjerit dan memusingkan stereng kereta ke arah kiri jalan untuk mengelak.

“Saya terdengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran itu sebelum sedari kepala arwah terkulai di bahu saya.

“Saya cuba panggil arwah beberapa kali, namun tiada respons sebelum melihat keadaan anggota dan pegawai saya di bahagian belakang kereta,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kuarters Pegawai Kanan Polis IPD Hilir Perak di sini, semalam.

Mahazir berasal dari Sik, Kedah berkata, dalam keadaan panik itu, dia sempat melihat Mohd Khairul dan Mohd Khairul Azhar dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, cubaan untuk memanggil pegawai dan anggotanya gagal sebelum mengambil keputusan untuk keluar daripada kereta dan menahan kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang secara kebetulan melalui kawasan itu.

Menurutnya, dia cuba memanggil Mohd Khairul Azhar dan dia menjawab panggilannya sebelum membawanya keluar dari kereta.

Katanya, beliau cuba memanggil Khairul Anuar yang ketika itu duduk di bahagian belakang pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dan dia ada memberi respons kepada panggilannya.

Dia yang turut mengalami kecederaan di kepala dan bahu akibat kejadian itu memberitahu, kesemua rakan sekerjanya dibawa ke Hospital Slim River (HSR) untuk mendapatkan rawatan.

Mahazir berkata, dalam perjalanan ke HSR untuk mendapatkan rawatan, dia dimaklumkan Zamri meninggal dunia di tempat kejadian manakala Khairul Anuar cedera parah.

Menurut Mahazir, sebelum bertolak ke Tanjung Malim, arwah datang menjemputnya dan pada masa itu arwah berkelakuan aneh.

“Biasanya arwah akan datang ke rumah dan akan menunggu di dalam kereta untuk membawa saya. Namun semalam arwah berkelakuan aneh apabila menjemput sehingga ke pintu rumah.

“Pada mulanya saya tidak sedap hati dengan kelakuan arwah itu menjadi petanda anggota saya itu akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Terima SMS suami kemalangan

Bagi isteri kepada Inspektor Mohd Khairul Azhar Abdul Halim, Intan Suhana Mohd Anuar, 29, berkata, dia menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada suaminya mengatakan dia terlibat dalam kemalangan.

Katanya, SMS yang diterimanya itu kira-kira 8.21 malam kelmarin menyebabkan dia bimbang akan keselamatan suaminya sebelum cuba menghubungi tetapi gagal.

Menurutnya, cubaan menghubungi suaminya beberapa kali gagal sebelum dijawab oleh seorang anggota polis yang mengatakan Khairul Azhar kemalangan, namun mengalami kecederaan ringan sahaja.

Intan Suhana berkata, walaupun bersyukur suaminya selamat namun kehilangan seorang jiran dalam kemalangan itu.

Sempat bertanya khabar anak

Sementara itu, anak bongsu arwah, Mohd Iqbal Zamri Hashim, 19, pelajar Diploma Pengajian Video dan Filem di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, cuti semester sempena Krismas lalu berkata, ayahnya tidak tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

Katanya, dia menerima khabar berita mengatakan ayahnya kemalangan daripada jirannya dan menasihati agar bersabar dengan apa yang terjadi.

Menurutnya, dia tidak faham apa dimaksudkan jirannya sebelum dihubungi anggota polis mengatakan ayahnya meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Behrang.

“Saya memang terkejut dan macam tidak percaya kerana baru dua hari lalu bersembang dengan arwah dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Othman Nanyan ketika dihubungi berkata, anggota terlibat dihantar ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan susulan.  – Perak Today

Menurutnya, dua lagi anggota cedera ringan berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di HSR.  –  Perak Today