klpost

Suri Rumah menjadi sasaran Pakatan Rakyat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Wanita Pakatan Rakyat (Pakatan) sepakat memperkenalkan Caruman Wanita Nasional RM50 sebulan sebagai pengiktirafan terhadap peranan kaum itu.
Dalam kenyataan bersama, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, usaha tersebut sebahagian daripada objektif gerak kerja Agenda Wanita Malaysia (AWM) bagi melahirkan wanita bahagia, selamat dan sejahtera.

“Caruman Wanita Nasional RM50 secara bulanan daripada Kerajaan Pakatan Rakyat dan caruman sebanyak RM10 sehingga RM100 digalakkan diberi oleh para suami kepada isteri setiap bulan sebagai tabung simpanan hari tua, skim perubatan wanita dan tabung bantuan musibah apabila berlaku bencana,” kata mereka.
Tambah mereka, keputusan tersebut kerana prihatin dengan kes peminggiran dan penindasan sehinggakan tiada lagi rasa hormat terhadap wanita.

“Mengambil pendekatan ‘Falsafah Hormat Wanita’ sebagai mendasari pelan pembangunan masyarakat, Wanita Pakatan Rakyat percaya ini merupakan langkah awal untuk mengubah keadaan sedia ada yang tidak mengangkat martabat wanita sebagai ibu, isteri, anak dan anggota penting masyarakat,” kata mereka lagi.
Selain menawarkan caruman, Wanita Pakatan turut menitik beratkan soal hak dan keberkesanan undang-undang.

“Wanita Pakatan bercita-cita melihat penubuhan Pusat Sokongan Wanita Bersepadu (Padu) di peringkat nasional bagi merealisasikan keberkesanan undang-undang yang merangkumi penubuhan baru dan pemberdayaan pusat krisis sedia ada, penambahan pusat kaunseling dan pemberdayaan NGO yang mendokong usaha ini,” katanya.

Bagi menggerakkan latihan dan ilmu, Wanita Pakatan melihat pentingnya menubuhkan Pusat Wanita Berdaya (PWB) untuk melahirkan golongan wanita berkemahiran, berilmu dan berdaya saing dalam masyarakat, tambah mereka lagi.