klpost

Sultan Johor -Dokumen yang sah hakmilik pesawat yang dimiliki Almarhum Sultan Iskandar kepada anakandanya

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Seorang peguam yang meninggalkan negara ini sejak tahun lalu berkata dokumen pemindahan hakmilik pesawat yang dimiliki Almarhum Sultan Iskandar kepada anakandanya dan pemindahan wang sejumlah RM60 juta kepada Amanah Raya, adalah dokumen yang sah. Peguam Kamal Hisham Jaafar – yang dikatakan mnghadapi konflik dengan Sultan Ibrahim Ismail berhubung pertikaian harta pusaka sehingga menyebabkan penahanan penulis blog Uncleseekers – mendakwa tidak tahu menahu bagaimana dokumen tersebut disiarkan dalam blog tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju bahawa dua dokumen tersebut telah diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bercakap dalam sidang media melalui telefon dari Dubai, Kamal Hisham berkata dokumen itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan atau undang-undang, dan beliau bingung mengapa polis mengklasifikasikan penangkapan tersebut sebagai kes OSA.

“Saya di sini hanya boleh mengesahkan bahawa dua dokumen yang membabitkan harta pusaka berbentuk pesawat dan dokumen yang wang RM60 juta dipindahkan ke Amanah Raya adalah dokumen yang betul dan tandatangan di dokumen tersebut adalah tandatangan saya,” katanya.

“Datuk Shafee dan Datuk Ramli Yusuf datang ke Dubai jumpa saya, untuk menandatanganinya dan kami berbincang, itulah cara untuk menyelamatkan keadaan,” kata Kamal dalam sidang media itu.

Beliau yang juga pesuruhjaya sumpah berkata ramai pihak boleh ‘mengakses’ dokumen tersebut.

Kamal menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali, mengupah atau berjumpa dengan Uncleseekers yang nama sebenarnya Syed Abdullah Hussein Al Atas, bahkan beliau (Kamal Hisham) turut dikritik dan dikutuk dalam blog tersebut.

Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan terhadap pengkaji aktiviti paranormal Syed Abdullah Syed Hussesin Al-Attas, yang mengendalikan laman blog www.uncleseekers.blogspot.com berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Jabatan Siasatan Jenayah Johor dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua lelaki berumur 23 dan 24 tahun yang merupakan kenalan Syed Abdullah itu ditahan pada pukul 9.30 malam tadi, di Jalan Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka.

“Kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai ASP Wong Chee Mean dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan. Polis turut merampas beberapa peralatan komputer daripada mereka,” kata kenyataan itu. – KL-Today