klpost2

‘Sudah seludup, mahu mengurat polis wanita lagi’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Segamat  –  Seorang penjenayah yang cuba mengaburi anggota sukarelawan polis wanita, dengan melambai dan melemparkan senyuman membongkar kegiatan penyeludupan 2,800 liter diesel subsidi di Jalan Buloh Kasap, kelmarin.

Perbuatan penjenayah bersama dua rakannya yang menaiki lori 10 tan itu, menyebabkan tiga anggota polis dalam van memberi perhatian sebelum menyedari beberapa papan palet terjatuh.

Susulan itu, pasukan polis itu mengekori lori berkenaan dan menemui lebih banyak papan palet terjatuh di jalan raya sebelum menahan lori itu di sebuah stesen minyak.

Menurut Harian Metro, pemeriksaan lanjut kemudian menemui sebuah tangki yang boleh memuatkan 10,000 liter diesel disembunyikan di bawah timbunan papan itu sebelum didapati ia membawa 2,800 liter diesel subsidi bernilai RM10,000.

Penyelia Unit Balai Bergerak Ibu Pejabat Polis Daerah, Koperal Khamil Abd Rahman, berkata ketika berselisih dengan lori itu, seorang daripada tiga penjenayah itu tersenyum dan melambai ke arah tiga anggota sukarelawan wanita.

Menerusi cermin pandang belakang, anggota polis mengesyaki sesuatu apabila tiba-tiba lori itu terus dipandu laju menyebabkan beberapa keping papan palet terjatuh sehingga kami mengambil keputusan mengekorinya.

Lori itu berjaya ditahan di stesen minyak berhampiran. Ketika ditahan, tiga suspek itu saling bertengkar kerana tidak berpuas hati dengan tindakan rakan mereka yang tersenyum dan melambai ke arah anggota polis menyebabkan perbuatan mereka terbongkar, katanya.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan daerah, Abd Aziz Siamin, berkata, siasatan mendapati lori itu mengisi minyak diesel subsidi di dua stesen minyak berasingan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan (AKB 1961) yang boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.