klpost

Suami belasah isteri ditengah malam

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR: Tidur seorang wanita berusia 46 tahun tersentak apabila dia bukan saja ditumbuk sebaliknya disepak terajang suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Ipoh, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, suspek berusia 50 tahun bertindak demikian dipercayai kerana mengesyaki isterinya curang.

Akibat perbuatannya itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan.

Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurut sumber, mangsa yang nyenyak tidur terjaga selepas mendapati kepalanya bagaikan dihentak sesuatu.

“Sebaik membuka mata, dia melihat suaminya sedang berdiri di sisi katil di bilik tidurnya itu selain mendapati lelaki terbabit sedang menggenggam penumbuk.

“Belum pun sempat mangsa mempersoalkan tindakan suaminya itu, lelaki terbabit terus menumbuk sebelum menyepak terajang mangsa,” katanya.

Sumber berkata, dalam keadaan terpinga-pinga, mangsa cuba mempertahankan dirinya sambil bertanya mengenai sebab dia dipukul.

“Namun, lelaki terbabit tidak mengendahkan pertanyaan isterinya itu sebelum memukulnya lebih 20 minit,” katanya.

Katanya, suspek kemudian mendakwa isterinya itu curang terhadapnya sebelum mengeluarkan pisau dan cuba untuk menikam mangsa.

“Wanita terbabit bagaimanapun bernasib baik apabila dia diselamatkan adik lelakinya berusia 20-an yang kebetulan datang menziarah kakaknya itu dengan menghalang suspek, seperti dilaporkan Metro.

“Menyedari kehadiran adik iparnya itu, suspek bergegas meninggalkan rumah berkenaan,” katanya.

Mangsa yang dibawa ke sebuah klinik berhampiran rumahnya itu bagaimanapun hanya dirawat sebagai pesakit luar biarpun mengalami kecederaan di kepala dan badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.