SK

Suami bakar muka isteri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

KOTA BHARU, May 23, 2012: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan mencederakan isterinya dengan kerusi dan membakar muka wanita itu dengan wang kertas RM1, pada Februari lalu.

Tertuduh, Wan Mustafa Wan Mamat, 40, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Wan Mustafa dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rohana Abdulah, 40, dengan menggunakan kerusi dan wang kertas RM1 yang dibakar di rumahnya, di Kampung Kedai Buloh, di sini, pada jam 9.30 malam, 2 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hafiz Abd Rahman. Mohd Fazaly Ali kemudian menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, seorang penagih dadah bukan saja bertindak ganas, malah tergamak membakar muka isteri hingga melecur di bahagian mata selepas meminta wang daripada anak mereka di Kampung Kedai Buloh, Badang, di sini.

Suspek turut dilaporkan menghentak isterinya menggunakan kerusi dan mengambil pemetik api untuk membakar wang kertas RM1 di mata kiri mangsa yang dalam ketakutan. – BH