klpost4

SPAD: Walaupun kecil, tapi mampu memberi perkhimatan terbaik

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

BANTING  –  Jumlah kekuatan anggota penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang disifatkan kecil, tidak menjadi halangan dan kekangan kepada suruhanjaya itu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, memberitahu BERNAMA, sehingga kini SPAD mempunyai seramai 317 pegawai penguatkuasa di seluruh negara dan pihaknya tidak bercadang untuk menambah keanggotaan itu dalam tempoh terdekat.

“Buat masa ini jumlah itu dirasakan cukup, kita akan menambah anggota mengikut kepada keperluan dan apabila waktu itu dirasakan sesuai.

“Apa yang penting buat masa ini, kita mahu kehadiran pegawai penguatkuasa SPAD dirasai dan dapat dilihat di mana-mana walaupun bilangan kita agak terhad,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Perbarisan Tamat Latihan Siri 2/2012 di Bukit Jugra di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 99 pegawai penguatkuasa berjaya menjalani Kursus Asas Penguatkuasa SPAD yang dilaksanakan selama dua bulan bermula 1 November lalu.

Beliau berkata, bagi mencapai tujuan itu, pegawai penguatkuasaan SPAD akan sentiasa turun padang melakukan pemantauan serta memberi tindakan segera terutamanya yang membabitkan aduan daripada orang awam.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, buat masa ini, pihaknya berpuas hati dengan tugas yang dikendalikan oleh pasukan penguatkuasa suruhanjaya itu yang menjadi barisan depan dalam membantu mentransformasikan sistem pengangkutan awam darat di negara ini.

“Walaupun kehadiran penguatkuasa SPAD dalam kuantiti yang kecil tetapi dengan wujudnya kerjasama bersepadu daripada agensi penguatkuasa lain, mereka dapat melaksanakan tugas dengan begitu konsisten.

“Bermula pada hari kami mula beroperasi iaitu pada 31 Januari yang lalu sehingga kini, sebanyak 223,389 pemeriksaan dilaksanakan ke atas Kenderaan Perdagangan, Pengangkutan Awam dan Kenderaan Pelancongan dan daripada jumlah itu sebanyak 5,931 kes dikenakan tindakan perundangan,” katanya.

Beliau berkata, melalui operasi bersepadu itu, SPAD berupaya mendorong pengendali dan pemandu kenderaan awam darat mematuhi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.