SK

‘Sorry’ tak payah – silap strategi politik

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

May 29, 2012 – ‘‘Malangnya Anwar Ibrahim tidak berbuat begitu. Sebaliknya dia memperkukuhkan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan pelbagai hasutan termasuklah mempersoalkan hak keistimewaan Melayu-Bumiputera serta kedudukan tertinggi Islam di Malaysia.”

Para pecacai Pakatan Rakyat terus memainkan sentimen menjijikkan apabila mempersoalkan keikhlasan Perdana Menteri memohon maaf kepada umum berikutan kekalahan Barisan Nasional pada 2008. Para pecacai Pakatan Rakyat sebaliknya menjadikan permohonan maaf tersebut sebagai kelemahan ketara Najib Abdul Razak dan kononnya dengan permohonan maaf tersebut, menjadikan UMNO-BN tidak layak untuk diberikan kemenangan pada PRU13 kelak.

Sungguh dangkal cara pemikiran pecacai Pakatan Rakyat!

Tidak ada dosa yang lebih besar dilakukan oleh pemimpin Malaysia selain daripada mencetuskan rusuhan, permusuhan dan suasana tidak stabil di negara ini sepanjang kemerdekaan Malaysia dari tangan British semenjak 1957.

Justeru, apa dosa Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh DAP-PAS-PKR dalam pelbagai kemelut yang melanda?

Mana permohonan maaf daripada PAS yang sewenang-wenangnya melakukan perbuatan pentakfiran terhadap ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO semenjak penubuhan parti itu pada tahun 1951? Tidakkah pentakfiran yang dibuat dan kempen-kempen pengkafiran yang berterusan sama ada secara terang-terangan mahupun secara tidak langsung, telah menyebabkan umat Islam di Malaysia berpecah belah hanya semata-mata kerana berakidahkan politik, bukannya Islam? Tidakkah sebahagian pemimpin PAS berpegang teguh kepada ajaran pentakfiran sehinggakan apa-apa sahaja yang datangnya daripada UMNO dianggap haram mutlak?

Bagaimanapun, menjelang 2008, para pemimpin PAS telah mengubah ‘fatwa’ Dewan Ulama PAS pada tahun 1963 yang mengharamkan sebarang kerjasama dengan kaum kafir secara terang-terangan dalam apa yang mereka gelarkan sebagai Barisan Alternatif sebelum ditukar kepada Pakatan Rakyat semata-mata untuk membenarkan DAP menganggotai barisan Exco Perak selepas kekalahan UMNO-BN di negeri itu pada PRU12.

Mengapa tiada kemaafan yang dipinta oleh para pemimpin PAS setelah berpuluh-puluh tahun mereka melakukan pentakfiran atau pengkafiran kepada orang dan pemimpin UMNO yang bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam seperti MCA dan MIC?

DAP pula wujud kesan daripada penyingkiran PAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1964. Perjuangan DAP sama seperti perjuangan PAP. Kemuncak daripada perjuangan DAP ialah tragedi 13 Mei 1969 yang mengorbankan ribuan penduduk Kuala Lumpur, sama ada Cina apatah lagi Melayu dan segelintir kecil kaum India.

Dari tahun 1969 sehinggalah sekarang, tidak sepatah pun permohonan maaf dibuat oleh para pemimpin DAP khususnya Lim Kit Siang walaupun merekalah yang menjadi punca kepada segala kekecohan dan tragedi tersebut. Sebaliknya Kit Siang dan para pemimpin DAP cuba mengalihkan kesalahan mereka kepada UMNO dengan tuduhan, UMNO yang telah mencetuskan rusuhan berkenaan, sekalipun yang membuat rapat umum, menghasut dan kemudian berarak di seluruh Kuala Lumpur dengan tujuan memprovokasi orang Melayu adalah DAP dan para pemimpin mereka seperti Kit Siang.

Mengapa tiada permohonan maaf? Hebat sangatkah DAP sehingga tidak memerlukan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada waris-waris si mati yang terbunuh dalam tragedi 13 Mei 1969?

PKR wujud bermula dari tahun 1998 iaitu tidak lama selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan dan keanggotaannya dalam UMNO. Bermula sebagai ADIL kemudian Keadilan Nasional dan seterusnya Parti Keadilan Rakyat setelah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia, berpuluh-puluh demonstrasi jalanan telah dilakukan oleh PKR dalam usaha untuk menimbulkan kegerunan dan ketidakstabilan dalam negara, sekaligus menghalang kemasukan pelabur-pelabur baru yang boleh merancakkan ekonomi.

Anwar Ibrahim sendiri hampir setiap minggu berada di luar negara untuk menghasut pemimpin-pemimpin negara luar untuk menjauhi Malaysia dalam apa yang dilihat sebagai bertujuan memudahkannya melakukan hasutan di Malaysia pula. Anwar Ibrahim yang diselimuti pelbagai skandal seks dan penyelewengan, telah dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan dihukum tetapi atas dasar UMNO yang lemah lembut, telah mengeluarkannya dari penjara bagi Anwar Ibrahim memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada negara.

Malangnya Anwar Ibrahim tidak berbuat begitu. Sebaliknya dia memperkukuhkan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan pelbagai hasutan termasuklah mempersoalkan hak keistimewaan Melayu-Bumiputera serta kedudukan tertinggi Islam di Malaysia.

Tidak pernah keluar sebarang perkataan maaf dari mulut Anwar Ibrahim. Malah dia sangat berbangga dengan segala ulah serta onar yang dilakukannya.

Justeru, apabila Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia, para pecacai Pakatan Rakyat berasakan tindakan Najib itu tidak seperti para pemimpin mereka yang sangat ego dan kembang kepala dengan segala macam kesalahan yang telah mereka lakukan. Dan kerana itulah, Najib serta permohonan maafnya perlu diperlekeh dan dihina!!! – Selangor Daily