klpost

Sofi Jikan dibebaskan dengan jaminan polis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Petaling Jaya
– Pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Sofi Jikan, 48, dibebaskan selepas keterangannya diambil berhubung kes berkenaan dan ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Sofi Jikan yang berasal dari Terengganu sebelum ini ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Sofi Jikan dilihat berada di dalam kereta peronda polis jenis Proton Inspira di Mahkamah Petaling Jaya pada pukul 10.10 pagi.

Kemudian, pelakon itu terus dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sini untuk proses jaminan polis.

Kelmarin melaporkan, pelakon itu diberkas di Balai Polis Mutiara Damansara Selasa lalu ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil Zahari, 37, pada 31 Januari lalu.

Dalam laporan tersebut, Farid didakwa mendedahkan tiga rakan artisnya merupakan dalang di sebalik meletakkan dadah dalam minumannya.

Tindakan tiga rakan artis itu, Farid mendakwa membuat dirinya khayal sehingga hilang kawalan dan bertindak ganas di Balai Polis Kota Damansara. – Kosmo