klpost

Siti gembira – perniagaan semakin berkembang

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

Menyedari minat yang mendalam terhadap dunia kecantikan, Siti melancarkan produk jenamanya sendiri, SimplySiti pada 2010. Dalam tempoh dua tahun, pelbagai rangkaian produk daripada penjagaan wajah, minyak wangi dan alat solekan telah diperkenalkan yang menjadi pilihan pengguna wanita kini.

Malah, jadual Siti juga kerap dipenuhi dengan aktiviti turun padang bersama peminat bagi mempromosikan produknya itu.

Semakin rancak meluaskan empayar perniagaan, biduanita muda ini dilihat semakin kurang aktif dalam bidang nyanyian.

Kali terakhir muncul dengan album bahasa Inggeris, All Your Love tahun lalu, sambutannya juga tidak sehebat album Siti terdahulu.

Ramai yang berpandangan, aura pelantun lagu Jerat Percintaan ini sebagai penyanyi mula berkurangan sejak sibuk dengan perniagaan.

Namun bagi diva popular ini, biarlah apa sekali pandangan orang terhadapnya, kecintaannya terhadap dunia nyanyian masih lagi utuh.

Malah, dalam sebuah temu bual sebelum ini, Siti pernah berkata, dia akan muncul dengan sekurang-kurangnya sebuah album dalam setahun.

Soal kualiti, pastinya menjadi faktor penting diutamakan wanita berusia 33 tahun ini.

“Dalam proses penghasilan album, Siti sangat selektif dalam memilih lagu yang dapat diterima peminat.

“Bagi Siti, biar lambat pun tidak mengapa, asalkan hasilnya memenuhi cita rasa peminat yang selama ini banyak menyokong,” katanya yang sedikit sebanyak mengubati kerinduan peminat dengan kemunculan lagu duet bersama Hafi z, Muara Hati.

Jika anda menyangka Siti sudah tiada masa untuk merakamkan album, pandangan anda ternyata silap.

Khabarnya, isteri kepada Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K ini dalam proses menghasilkan album terbaru.

Bukan sembarangan projek, sebaliknya album ini turut dibikin khas untuk peminatnya di negara jiran, Indonesia.

Demi memberi tumpuan terhadap projek khas yang melibatkan komposer terkenal tanah air dan seberang ini, Siti terpaksa menunda hasrat untuk tampil dengan album solonya.

Siapa tahu, jika album khas ini berjaya, tidak mustahil Siti akan kembali menjadi fenomena di sini dan juga di Indonesia.

MAHU ADAKAN KONSERT 

DALAM diamdiam, Siti juga sebenarnya sudah ada perancangan untuk muncul dalam konsert di negeri kelahirannya, hujung tahun ini.

Masih terlalu awal untuk memperkatakannya, satu sidang media akan diadakan bagi memberitahu maklumat lanjut mengenai konsert tersebut.

Sebagai penyanyi sejati, Siti sebelum ini juga pernah melahirkan hasrat untuk beraksi sekali lagi di pentas konsert untuk peminatnya.

“Buat masa ini, Siti belum menentukan konsep konsert yang akan diadakan itu lagi. Semuanya bergantung kepada apa yang penganjur mahukan.

“Malah, Siti juga tidak kisah dengan pemilihan lokasi kerana apa yang penting, peminat dapat datang menonton konsert Siti dengan selesa,” katanya.

DISIPLIN VS KONTROVERSI

BAGAIKAN menjadi asam garam golongan selebriti apabila perlu berdepan dengan kontroversi yang tidak pernah berhenti.

Walaupun dilabelkan sebagai artis yang ‘bersih’, Siti tidak terlepas menjadi mangsa kontroversi di awal kemunculannya.

Tetapi itulah Siti, biar sebanyak mana kontroversi menghimpit dirinya, penyokong setia sentiasa ada di sisi. Maka, tidak hairanlah sekiranya wanita cekal ini mampu mempertahankan kedudukannya hingga kini.

“Rahsia Siti untuk kekal lama senang saja, perlu menjaga disiplin dan pandai membawa diri. Selain itu, hati peminat perlu sentiasa dijaga. Keutamaan peminat adalah nombor satu,” katanya.

Di sebalik kejayaan demi kejayaan diraihnya, Siti tetap merendah diri dan meletakkan peminat di tangga teratas. “Semua kejayaan adalah milik bersama peminat. Tanpa mereka siapalah Siti.

“Siti beruntung kerana mempunyai peminat yang menjadi tulang belakang dan sentiasa menyokong dalam apa jua keadaan,” tutur Siti ketika memenangi satu anugerah tidak lama dulu.

ANAK TIRI PERMATA HATI

TANGGAL 21 Ogos lalu, genaplah enam tahun perkahwinan Siti yang diserikan dengan kehadiran empat orang anak Datuk K dengan bekas isteri.

Rasanya sudah acap kali mereka diajukan pertanyaan bilakah akan menimang cahaya mata sendiri.

Hati wanita mana yang tidak mahu bergelar ibu, namun keakraban Siti dengan anakanak tirinya sudah cukup menggambarkan kehidupan Siti kini dilingkari bahagia di samping keluarga.

“Mungkin rezeki masih belum berpihak kepada kami, namun Siti percaya akan bergelar ibu jua kelak.

“Hubungan dengan anak-anak tiri juga baik dan merekalah tempat untuk Siti mencurahkan kasih sebagai ibu,” katanya.

Sebagai manusia biasa, Siti dan suami tidak pernah berhenti berdoa agar impian mereka termakbul suatu hari nanti.  – SH