klpost

Siti Aisyah berlari ke tandas sambil renjis tangan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Shah Alam
– Saksi perbicaraan kes bunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un,  memberitahu mahkamah hari ini bahawa seorang daripada tertuduh, Siti Aisyah, dilihat melalui CCTV berlari ke arah tandas selepas ‘menyerang’ mangsa.

“Siti Aisyah berlari ke arah tandas di Aras 2, sambil ‘merenjis-renjis’ tangannya  seolah-olah dia tengah kepanasan,” kata Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA Asisten Supritendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

Pegawai polis itu memberi keterangan pada perbicaraan kes bunuh Jong-nam, pada, 13 Februari lalu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata, menurut pemerhatiannya, berdasarkan rakaman CCTV,  didapati Siti Aisyah bergegas ke tandas melalui satu lorong selepas melakukan “serangan”   ke atas Jong-nam.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa pemeriksaan utama, Wan Azirul Nizam berkata Siti Aisyah juga mengelak untuk memegang pemegang eskalator ketika turun dari Aras 3 ke Aras 2 untuk menuju ke tandas.

“Menurut rakaman CCTV lagi,  Siti Aisyah keluar dari tandas sambil memakai skarf yang diambil keluar daripada beg galas,” katanya.

Beliau berkata, tertuduh warga Vietnam Doan Thi Huong pula selepas melakukan “serangan” ke atas mangsa sama kelihatan  tergesa-gesa beredar dari tempat kejadian dan pergerakan tangannya juga dilihat  tidak selesa.

“Kedua-dua tangannya seperti menadah dan dia seolah-olah mengelakkan bahagian lengan bajunya daripada terkena tapak tangannya. Saya lihat wajahnya seperti cemas dan mahu keluar dari situ dengan  segera.

“Daripada pemerhatian saya juga, Doan seperti sudah sedia maklum dan tahu apa yang dia perlu lakukan selepas serangan itu kerana dia bergegas ke tandas di Aras 2 iaitu anggaran jarak kira-kira 80 hingga100 meter dari tempat kejadian (Aras 3) ,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Wan Azirul  Nizam berkata sebelum masuk ke dalam tandas, keadaan Doan masih seperti sama iaitu tangannya  kadang-kadang terangkat, kadang-kadang ke bawah seperti mahu mengelakkan tapak tangannya terkena pada mana-mana bahagian badan atau pakaian.

“Dia yang masuk ke dalam tandas pada pukul 9.02 pagi bagaimanapun keluar selepas seminit dan tangannya seperti normal dan lebih relaks tetapi dia masih berjalan laju. Kemudian dia juga terus menuju ke Aras 1 iaitu di bahagian Hab Pengangkutan Awam sambil menggunakan telefon bimbit dan menuju ke pintu keluar dan menunggu untuk teksi.

“Rakaman CCTV juga mendapati Doan membeli tiket teksi di kaunter penjualan tiket jam 6.59 pagi hari kejadian sebelum serangan itu,” katanya sambil menambah  bahawa Doan sampai di tempat menunggu teksi, dan Siti Aisyah juga tiba di tempat berkenaan pada pukul 9.23 pagi dengan kelihatan cemas sebelum menaiki teksi,” katanya.Menjawab soalan Wan Shaharuddin, saksi itu  berkata Siti Aisyah juga berada di sebuah restoran ‘Bibik Heritage’ di Aras 2,  bersama seorang lelaki memakai topi berwarna hitam sambil berbual-bual.

“Wanita itu juga kelihatan mesra.. lelaki itu memesan minuman dan semasa berbual,  juga memberi sekeping tiket kepada Siti Aisyah pada pukul 8.14 pagi,” katanya.

Tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa  bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan klia2pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. – Bernama