klpost

Siasatan penuh kes pelajar maut terkena pisau mesin rumput – Mahdzir

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Alor Setar
– Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan siasatan penuh berhubung insiden seorang pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman di Gemas, Negeri Sembilan, yang maut terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu pagi tadi.

Katanya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana sewaktu kejadian, sekolah berkenaan sedang mengadakan raptai hari sukan.

“Saya dah minta satu siasatan penuh bagaimana kejadian ini boleh berlaku sewaktu raptai hari sukan sekolah, biarlah siasatan penuh antara sekolah dan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, pihak sekolah mahupun kontraktor pembersihan sepatutnya peka dan melihat dari aspek keselamatan sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan dengan menggunakan traktor mesin rumput di padang sekolah itu.

“Saya kira perlu ada pertimbangan wajar antara pengetua dan guru besarlah, bila jentera berkaitan pembersihan digunakan dan ada pelajar di padang sekolah tak perlulah mengendalikan mesin itu, ini peristiwa yang sangat menyedihkan dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya. – Bernama