klpost

Siapa itu pariah? – oleh Fa Abdul

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Beberapa hari yang lalu, rakaman video di mana Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggunakan istilah pariah terhadap orang India yang dibawa British ke Tanah Melayu tersebar luas di dada media sosial.

Walaupun rakaman tersebut dibuat kira-kira sepuluh tahun yang lalu ekoran perhimpunan Hindraf, ia ternyata membawa impak yang besar terutamanya setelah ‘Puisi Jumaat’ hasil nukilan Datuk Dr Asri baru-baru ini, mengguris hati ramai golongan masyarakat India di negara kita.

Menerusi video yang tersebar luas itu, Datuk Dr Asri dilihat berbicara mengenai kaum pariah di India yang menurutnya dipandang sangat hina sehinggakan bekas minuman dan hasil masakan mereka tidak akan disentuh oleh kasta lain bahkan dilihat sebagai najis.

“Kebanyakkan mereka di India tak ada rumah, semuanya tidur di tengah jalanan berlapikkan kotak. Sangat hina kehidupan mereka di negara mereka. Dan kasta pariah ini telah di bawa Inggeris ke dalam negara kita. Kehidupan yang mereka nikmati di sini seribu kali ganda baik daripada negara mereka. Mereka merempat dinegara sendiri tak pakai baju tak pakai seluar,” kata beliau.

Dalam pada saya mengamati video tersebut, terdengar saya akan bibit-bibit suara latar para hadirin yang ditujukan pada masyarakat Hindu negara ini, kata mereka, “Tak sedar diri…”

Astaghfirullahalazim.

Sesungguhnya saya bingung setelah menonton rakaman tersebut, tak kisahlah jika ia berusia sepuluh tahun ataupun dua puluh tahun sekalipun.

Pokoknya, bagi seorang individu yang bijak pandai perihal agama, bergelar ulamak serta mufti, merewang ikut suka hati hinggakan mempergunakan sistem kasta yang tidak dibenarkan di sisi Islam untuk merendah-rendahkan dan membanding-banding antara satu kaum dengan yang lain – saya ingin tahu di manakah letaknya keIslaman beliau?

Menjadi seorang ahli ulamak sesungguhnya banyak tanggungjawabnya, lebih-lebih lagi dalam mewawancarakan ajaran Islam yang berlandaskan Al-Quran kepada para Muslimin. Saya akui sememangnya saya kurang arif dalam selok belok agama dan masih lagi belajar menjadi Muslimin yang solehah, namun walaupun dengan kecetekan ilmu di dada, saya sendiri sedia maklum bahawasanya perbuatan menghina serta menyinggung perasaan kaum beragama lain bukanlah ajaran Islam.

Walhal golongan yang bukan Islam sendiri tahu menjaga batas dan lidah masing-masing daripada mencerca dan mengeji antara satu sama lain. Bagi mereka itu adalah peradaban, kesopanan dan etika, dan bukan hanya soal ajaran agama.Tetapi peliknya seorang ulamak yang bergelar mufti tidak pula mempraktikkan peradaban, kesopanan dan etika yang sama. Apa Datuk Dr Asri menghalalkan bagi dirinya sendiri apa yang tidak dihalalkan oleh Islam bagi umatnya?

Sesungguhnya agama Islam bukan sahaja menolak sistem kasta, bahkan Islam juga tidak mengajar umatnya untuk membandingkan antara satu sama lain. Maka saya ingin bertanya, apakah niat Mufti Perlis itu membanding-bandingkan cara hidup rakan Hindu kita di Malaysia dan di India?

Adakah beliau berpendapat mereka harus mempraktikkan cara hidup tok nenek mereka di bumi Malaysia ini?

Apakah rakan Hindu kita tiada hak untuk bersuara memohon kehidupan yang lebih baik untuk keluarga dan masyarakat mereka?

Jika umat Islam di tanahair bertuah ini mempunyai segala macam hak yang tidak dimiliki oleh rakan Hindu kita, bukankah kita juga nampak gayanya mempraktikkan sistem kasta? Kasta atasan namanya “Umat Islam”. Kasta bawahan namanya “Bukan Islam”.

Sesungguhnya itu bukan ajaran Islam yang hakiki, malahan ia adalah ajaran sesat yang dibawa oleh golongan yang tak bertanggungjawab demi kepentingan diri sendiri yang seharusnya di tolak oleh semua umat Islam yang mendukung prinsip Al Quran.

Subhanallah.

Dalam pada saya termangu memikirkan persoalan mengenai kasta, terdetik pula dalam fikiran dek sejarah kedatangan Islam di Nusantara. Setelah dikaji, saya dapati bahawa penyebaran awal Islam di Nusantara dilakukan pedagang-pedagang India, Cina, Parsi dan Arab pada kurun ke 11. Namun sebelum zaman tersebut, rupa-rupanya Nusantara diperintah oleh kerajaan Buddha dan Hindu.

Dengan kuatnya pengaruh Hindu di rantau Nusantara ketika itu, dua kerajaan terbesarnya iaitu Srivijaya dan Majapahit menyatukan Nusantara seraya membentuk acuan budaya serta peradabannya melalui proses perkahwinan, perdagangan tempatan dan peperangan. Dan kerajaan-kerajaan Hindu di Nusantara inilah yang telah membawa kepada perkembangan kerajaan Gangga Negara, Langkasuka, Kedah Tua, Pan Pan dan Chi Tu di Semenanjung Malaya.

Jadi jika kita telitikan, tampaknya masyarakat Melayu yang mendamba diri sebagai ahli rumpun Nusantara juga berasal dari keturunan Hindu. Dan memandangkan agama Hindu mempraktikkan sistem kasta, maka pastinya kerajaan asal Nusantara juga berlandaskan sistem kasta yang sedemikian rupa.

Jika begitulah halnya, ada juga kemungkinan nenek moyang Datuk Dr Asri sendiri berketurunan pariah yang mana bekas minuman serta masakannya dianggap najis.

Allahualam.

Tetapi Alhamdulillah, sebagai umat Islam, kita kini tidak lagi terikat dengan sistem kasta. Di dalam zaman moden ini, tiada lagi tempat untuk sistem kasta di dalam masyarakat kita. Islam dan bukan Islam mempunyai hak yang jitu untuk sama-sama hidup disamping satu sama lain tanpa apa-apa sistem yang mampu meroboh benteng kesaksamaan antara kita.

Jika adapun kasta yang masih wujud di zaman ini, ia bukan lagi dari kelahiran yang di warisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Kasta yang wujud pada abad yang ke 21 ini hanya wujud di dalam minda kita. Ya, pariah adalah satu keadaan status minda.

Pariah adalah deskripsi bagi individu yang hanya mementingkan diri sendiri walaupun merugikan orang lain. Pariah merujuk kepada individu yang bercakap lantang tanpa menjaga sensitiviti masyarakat lain. Pariah menunding kepada mereka yang tidak keberatan merompak harapan serta impian orang lain manakala memeluk erat keistimewaan mereka sendiri. Pariah adalah individu yang jahil tentang kehidupan orang lain kerana mereka begitu taksub dengan kehidupan yang sejenis dengan diri mereka sendiri.


* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Kuala Lumpur Post.