klpost

Shaheizy Sam terkejut diisytihar bankrap

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Pelakon Shaheizy Sam mengakui terkejut apabila namanya disenaraikan sebagai individu muflis yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 26 Mei lalu.

Shaheizy atau nama penuhnya, Shaheizy Sam Abd. Samad berkata, dia akan cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak LHDN mengenai isu tersebut.

“Saya sendiri tengah tunggu penjelasan daripada pihak LHDN mengenai isu ini kerana tiada sebarang notis dikeluarkan kepada saya selama ini.

“Malah, dua tiga minggu lepas wakil LHDN ada datang ke rumah bertemu dengan saya dan ketika itu mereka juga tidak maklumkan tentang hal ini (muflis),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Dalam pada itu, Sam turut mengesahkan dia tidak pernah melupakan tanggungajwab sebagai rakyat Malaysia untuk membayar cukai.

Menurut Sam, pihaknya telah melantik agen cukai untuk menguruskan perkara tersebut.

“Saya tidak boleh beri sebarang komen lebih lanjut isu bankrap ini kerana menunggu penjelasan pihak LHDN pada hari ini,” ujar Sam.

Kelmarin, nama Sam dilihat tertera pada satu notis kebankrapan yang telah dikeluarkan melalui Perintah Mahkamah oleh Kerajaan Malaysia di alamat penyerahan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Wangsa Maju, Unit Undang-Undang menerusi ruangan iklan sebuah akhbar.

Perintah Mahkamah tersebut disampaikan secara penyampaian ganti dengan salinan Notis Kebankrapan beserta dengan salinan Perintah Mahkamah tersebut di Papan Notis Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor di alamat terakhir penghutang penghakiman iaitu Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor. – Kosmo