klpost

Sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SERDANG  –  Taktik seorang lelaki yang mencuri wang keuntungan tempatnya bekerja tumpas selepas polis berjaya menahannya di sebuah stesen minyak di Klang, Isnin lalu.

Suspek berusia 30-an itu, bekerja di stesen minyak selama sehari sebagai pembantu pam minyak dan berhenti kerja selepas mengaut keuntungan di tempat tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, suspek memperoleh RM3,000 dalam sehari bekerja selepas mencuri dan bertukar ke stesen minyak lain untuk melakukan kegiatan sama.

Menurutnya, kegiatan suspek yang sudah berkahwin itu disedari pengusaha pam minyak yang melihatnya mengambil wang keuntungan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek terlibat dalam 25 kes curi di sekitar Serdang, Kuala Lumpur dan Selangor yang melibatkan kerugian hampir RM70,000.

“Dipercayai suspek aktif sejak awal tahun ini dan melakukan secara berseorangan.

“Suspek juga orang dikehendaki polis dalam tiga kes di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya, semalam.

Beliau berkata, suspek disambung reman semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 408 Kanun Keseksaan.   –  Sinar