klpost

Selangor mencatat kedudukan pertama dari segi pelaburan perindustrian di Malaysia

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM – Selangor mencatat kedudukan pertama dari segi pelaburan perindustrian di Malaysia setakat Mei 2012 dengan mencapai jumlah pelaburan keseluruhan RM5.125 bilion daripada 106 projek yang diluluskan.

Teresa Kok berkata sebanyak 10,522 potensi peluang pekerjaan diwujudkan iaitu 28.94 peratus daripada jumlah potensi peluang pekerjaan yang diwujudkan di seluruh negara.

Ia adalah 6,187 daripada projek baru dan sebanyak 4,335 adalah projek pembesaran dan pelbagaian.

Ujar beliau lagi, jumlah nilai pelaburan tempatan adalah sebanyak RM3,950,571,745 iaitu 77.08 peratus adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan jumlah nilai pelaburan asing sebanyak RM1,174,548,498 atau 22.9 peratus di Selangor.

“Ini menunjukkan bahawa pelabur tempatan menaruh keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor,” kata Teresa yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.

Jelas Teresa, daripada 106 projek yang diluluskan sebanyak 63 buah merupakan projek baru yang membawa pelaburan sebanyak RM3.3 bilion manakala 43 merupakan projek pembesaran dan pelbagai.

Di kalangan pelabur asing, Switzerland menanam pelaburan asing yang paling besar dengan nilai pelaburan sebanyak RM246 juta, diikuti Jerman dengan RM196 juta dan Singapura dengan RM139 juta.

“Indusrti Pembuatan Barangan Peralatan Kenderaan mencatatkan bilangan kelulusan projek tertinggi dengan 19 projek.

“Ini diikuti Industri Pembuatan Kimia dan Barangan Kimia sebanyak 17 projek.

“Manakala, Industri Pembuatan Mesin dan Peralatan mencatatkan 11 projek,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Beliau juga memaklumkan industri pembuatan barangan peralatan kenderaan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi berjumlah RM2.2 bilion.

Ini diikuti industri pembuatan mesin dan peralatan sebanyak RM448 juta.

Manakala industri pembuatan barangan logam asas mencatatkan pelaburan ketiga tertinggi bernilai RM422 juta.

“Industri pembuatan peralatan kenderaan mencatatkan potensi peluang pekerjaan tertinggi dengan 3,056 pekerjaan.

“Ini diikuti industri pembuatan mesin dan peralatan sebanyak 994 dan industri pembuatan barangan minuman dan tembakau sebanyak 876 peluang pekerjaan,” katanya. – Selangor Ku