klpost

Selangor adalah aset bagi Anwar Ibrahim

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dijalankan secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 adalah salah satu lagi bukti keangkuhan dan sikap mementingkan dirinya.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman melihat bahawa Anwar selaku ketua pembangkang dalam sekutu bersama PKR, Pas dan DAP perlu menjaga ‘air mukanya’ daripada dimalukan dalam PRU ke-13 nanti.

“Keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang semakin menurun khususnya di Selangor yang terus dilanda dengan pelbagai isu termasuklah air, sampah, universitinya sehinggalah kepada pentadbirannya dan ini secara tidak langsung menggerunkan Anwar dan rakan-rakannya,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, kepimpinan di Selangor teramat bimbang dengan situasi terkini yang menunjukkan bahawa sokongan rakyat lebih memihak kepada Barisan Nasional (BN) dengan gerak kerja berterusan jenteranya dan kepimpinan mantap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Barangkali taktikal Anwar adalah untuk mengalihkan pandangan rakyat secara keseluruhan terhadap Negeri Selangor sekiranya ia dilaksanakan berasingan daripada pusat.

“Biarpun keadaan tersebut tidak pernah berlaku dalam sejarah PRU negara tetapi sekiranya pakatan pembangkang di Selangor yang diketuai oleh PKR ini kalah maka ia tentunya satu tamparan yang sangat hebat bukan saja pada pakatan mereka tetapi secara personal kepada Anwar yang memegang tampuk ketua pembangkang.

“Tentunya sekutu mereka akan mempersoalkan bagaimana seorang ketua pembangkang yang mewakili PKR sendiri boleh kalah di dalam negeri tadbirannya. Bukankah ini memalukan?”

Tegasnya lagi, kedudukan Anwar dalam kerajaan negeri Selangor sendiri adalah salah satu peluang untuk tunjukkan statusnya yang kononnya mempunyai ‘kuasa’ dan mesti menang.

“Negeri Selangor adalah aset bagi Anwar bukan saja dari kekayaan negeri tersebut tetapi untuk menunjukkan ‘kelebihannya’ dalam pakatan pembangkang yang sememangnya tidak sepakat, namun sekiranya kalah maka ia akan menjadi liabiliti kepada pakatan pembangkang keseluruhannya.”

Ujarnya lagi, keangkuhan Anwar amat terserlah dengan keputusan untuk melaksanakan PRU berasingan sedangkan Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz yang telah empat penggal mentadbir negeri terbabit pun tidak pernah melaksanakan pilihan raya berasingan.

“Secara simboliknya, Pas mentadbir Kelantan dan Kedah, DAP berkerajaan di Pulau Pinang dan PKR di Selangor dan tentulah Anwar mahu terus mempertahankan negeri terbabit untuk kepentingan dan kedudukannya sendiri.” – MediaUMNO