klpost

Sektor pendidikan sebagai perniagaan RM500juta musnah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Oleh Aliff Fikri

KUALA LUMPUR – Umno BN menjadikan sektor pendidikan sebagai perniagaan menyebabkan kira-kira 25 hingga 50 peratus peralatan bernilai lebih RM500 juta bagi projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dapat digunakan lagi akibat rosak.

Ketua Biro Pendidikan KEADILAN, Abas Awang berkata, pimpinan  Umno BN memperniagakan pendidikan bagi mengisi poket mereka sehingga mengabaikan kepentingan pembelajaran pelajar.

“Kita dapat lihat dengan jelas bagaimana mereka jadikan peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk digunakan dalam projek PPSMI untuk tujuan bisnes dan bukannya untuk mendidik murid serta pelajar,” katanya ketika dihubungi.

Demikian respon beliau berhubung laporan akhbar hari ini menyatakan kurangnya penyelengaraan dan kelemahan pentadbiran kerajaan menyebabkan banyak peralatan ICT yang dibekalkan untuk sekolah terabai bernilai lebih RM500 juta.

Abas berkata, kerajaan Umno BN sebelum ini menyalahguna dan meluluskan pelbagai projek di atas nama pendidikan dengan tujuan untuk kepentingan sendiri.

“Mereka menjadikan sekolah sebagai pasaran. Sepatutnya projek yang melibatkan sekolah dan murid perlu diusul dan dibincangkan terlebih dahulu bersama bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), setelah mendapat persetujuan barulah ia dijalankan.  Tetapi mereka meluluskan terus setiap projek tanpa mengambil pandangan dari EPRD,” jelas beliau.

“Sebarang projek juga perlu mengambil kira pandangan dari pakar pendidikan terlebih dahulu sebelum diputuskan kebenaran untuk melakukannya, tapi sebaliknya tindakan yang dilakukan ternyata bercanggah dengan dasar pendidikan itu sendiri,” kata Abas.

PPSMI diperkenal sejak 2003 ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad dan ditentang tokoh-tokoh bahasa, budayawan dan cendikiawan kerana dianggap memperlekeh bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu.

Kemuncak penentangan itu pada 7 Mac 2009 apabila Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dipimpin bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Allahyarham Datuk Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, memimpin ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya.

Buat pertama kalinya, golongan seniman dan budayawan pelbagai bangsa – yang dilihat berdiam diri terhadap dasar kerajaan selama ini – bangkit menuntut pemansuhan PPSMI.

Hingga kini, kerajaan masih berdolak dalik mengenai tuntutan supaya PPSMI dimansuhkan. – Keadilan