klpost

Sedia bergelar isteri – Puteri Sarah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

PELAKON cantik manis, Puteri Sarah Liyana menyatakan bahawa dia sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri sementelah tahun ini usianya sudah menganjak 27 tahun yang dirasakannya sebagai sudah cukup matang untuk menempuhi kehidupan berumah tangga.

Bagaimanapun, disebabkan kesibukan kariernya dalam bidang seni perkara ini sering kali bertangguh sehingga dia dan kekasihnya yang juga merupakan seorang pelakon, Ammar Alfian Aziz, 25, sukar untuk mendapatkan tarikh yang benar-benar sesuai untuk majlis perkahwinan mereka.

“Saya memang sudah bersedia untuk berkahwin tetapi disebabkan kesibukan kerja serta kekangan masa menyebabkan perkara ini sering bertangguh.

“Bukannya kami tidak pernah berbincang mengenai perkara ini, tetapi itulah tiada satu tarikh yang benar-benar sesuai boleh dipilih buat masa sekarang disebabkan kami berdua terikat dengan jadual kerja yang padat,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama bersiri Evolusi KL Drift: The Series di Perbadanan Filem Malaysia (Finas), semalam.

Ketika ditanya mengenai adakah perhubungan itu akan diikat dengan ikatan pertunangan terlebih dahulu, Sarah menjelaskan, “saya rasa tak perlu tunang pun.”

“Lagi pun kami dah hampir empat tahun berkawan, kalau boleh saya nak terus kahwin tanpa membuat majlis pertunangan,” katanya.

Puteri Sarah yang mempunyai dua ijazah ini turut menyatakan mungkin selepas ini dia terpaksa meninggalkan dunia lakonan buat sementara waktu berikutan ingin mengembangkan kerjayanya dalam bidang perhotelan seperti yang diingini kedua ibu bapanya.

“Sekarang ini saya dah hantar ‘resume’ di beberapa buah hotel termasuk di luar negara untuk memulakan kerja dalam dalam bidang terbabit.

“Saya tahu bidang lakonan ini berharga tapi saya perlu memikirkan masa depan juga selain kedua ibu bapa berharap saya dapat pekerjaan yang lebih menjamin kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Puteri Sarah bergandingan dengan Syamsul Yusof dalam drama bersiri terbaru terbitan Skop Productions dengan membawa watak seorang gadis lasak bernama Tasha yang amat meminati sukan permotoran ‘drift’ serta mengalami pelbagai konflik dalaman dengan keluarganya serta tidak pernah mendapat perhatian secukupnya daripada kedua ibu bapanya.

Drama terbabit merupakan adaptasi daripada filem Evolusi KL Drift 1 dan 2 yang pernah diarahkan Syamsul sebelum ini bakal menemui penonton pada setiap hari Khamis bermula 4 Oktober ini di TV2.

Drama 26 episod ini turut diserikan dengan penampilan khas pelakon Aaron Aziz yang membawakan watak antagonis bersama Norman Hakim. – SH