klpost

‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ – Logo akan diumumkan pada khamis ini

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Oleh Mohd Martin Kahar

PETALING JAYA – Pakatan Rakyat (Pakatan) akan mengumumkan logo sesuai untuk diguna dalam sambutan Hari Kebangsaan pada Khamis ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan itu akan diumumkan oleh Majlis Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat.

“Logo tersebut akan digunakan oleh empat negeri Pakatan Rakyat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Anthony Loke dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Kata Mustafa, untuk lagu tema Hari Kebangsaan pula, Pakatan sedang meneliti cadangan daripada seorang komposer terkenal.

Beliau enggan mendedahkan siapa komposer tersebut sehingga proses menyiapkan lagu selesai.

Katanya, pemilihan lagu berkenaan juga turut akan diumumkan nanti.

Berkenaan tema Hari Kebangsaan, Mustafa berkata, negeri Pakatan bebas menggunakan tema masing-masing.
Katanya, Selangor dan Pulau Pinang memilih menggunakan tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’.

“Manakala Kelantan akan menggunakan tema ‘Menerajui Perubahan’, sementara Kedah pula memilih tema ‘Terus Berbakti’,” katanya.

Menurut Mustafa, Kelantan dan Kedah menggunakan tema berbeza kerana negeri tersebut telah memutuskan terlebih dahulu tema negeri masing-masing bagi menolak tema ‘Janji Ditetapi’, sebelum ia diputuskan oleh pimpinan tertinggi.

Bagaimanapun katanya, tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ akan dijadikan tema rasmi Pakatan Rakyat. – Keadilandaily