SK

Sebab ‘sampah’ Selangor bazir RM12.5juta

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

May 17,2012. Menurut Selangor Daily, cadangan kerajaan negeri untuk membeli 50 buah lori sampah sebenarnya mengundang beberapa perkara yang menarik untuk diperbincangkan.

Seperti sedia maklum, masalah kutipan sampah di Selangor sangat serius, sehingga menyaksikan kemarahan rakyat di seluruh pelusuk negeri, sesuatu yang luarbiasa berlaku sejarah sebuah negeri maju seperti Selangor.  Apatah lagi, ia sekarang diangkat sebagai “negeri berkebajikan”.

Kita tidak boleh menolak bahawa ini adalah cara kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah sampah yang menimbun, sehingga wujudnya kata-kata nakal “Selangor Darul Sampah”. Pembelian ini diharap dapat menyelesaikan masalah kutipan sampah.

Namun, sejauh manakah 50 buah lori dapat menampung tahap keperluan mendesak?  Apakah terdapat jaminan, bahawa masalah ini dapat diselesaikan, kerana sebelum ini pun, masalah berkenaan tidak pernah wujud.

Persoalan pokok, bagaimana masalah kutipan sampah ini boleh berlaku?

Kita berbalik kepada perkara asas, iaitu perlantikan kontraktor-kontraktor berkelayakan.  Apakah kerajaan negeri gagal memenuhi spesifikasi kelayakkan?  Jika tidak mahir sekalipun, modus operandi yang pernah dilaksanakan olek kerajaan BN dahulu sudah cukup untuk mengelak dari berlakunya masalah kutipan sampah.

Salah satu sebab berlakunya masalah ini adalah kerana persempadanan semula kawasan kutipan yang lebih kecil, menyebabkan kontraktor yang sedia ada tidak dapat beroperasi dengan margin keuntungan munasabah.  Pengecilan kawasan ini bermakna, banyak kawasan-kawasan baru diwujudkan.  Apakah ini strategi untuk kerajaan negeri meningkatkan lagi penyertaan kroni mereka dalam perniagaan ini?  Jika ya, maka tidak salahlah slogan “mengkronikan ekonomi Selangor” disebut-sebut oleh kebanyakkan rakyat.

Selain daripada itu, rungutan kontraktor tentang soal bayaran benar-benar memalukan seluruh negeri, kerana soal itu tidak pernah wujud tatkala BN memerintah dahulu.  Ke mana hilangnya jutaan ringgit, belum dicampur dengan royalti  Putrajaya yang diterima dari kerajaan pusat yang seharusnya menjadikan kerajaan negeri berkeupayaan dari segi kewangan?

Apa yang membimbangkan, pembelian 50 buah lori sampah membawa jumlah keseluruhan RM12.5 juta, wang rakyat yang digunakan bagi menampung ketidakcekapan urustadbir kerajaan negeri.  Sedangkan, pembelian tersebut belum mampu menjamin penyelesaian masalah.  Apakah kerajaan negeri melantik kontraktor-kontraktor yang tidak mempunyai lori sampah?  Wow… ini satu keputusan yang sangat tidak boleh diterima akal!

Siapa yang bakal menerima lori-lori sampah berkenaan?  Tentulah kroni mereka, yang sebenarnya tidak berkemampuan.  Alangkah seronoknya berurusniaga di Selangor, apabila asset terpenting dalam perniagaan ini disediakan oleh kerajaan negeri!

Apa yang berlaku sebenarnya menunjukkan ketidakcekapan kerajaan negeri dalam mengurustadbir Selangor Darul Ehsan.  Menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya untuk menyelesaikan ketidakupayaan pentadbiran adalah bukti tidak wujud efektif dan efisiensi.  Mekanisma ini, sekiranya terus dipraktikkan, akan menyebabkan kehilangan wang rakyat yang banyak.

Jangan pandang jauh ke belakang, cukup sekadar 4 tahun yang sudah, bagaimana kita melihat simpanan tunai merosot, yang kemudiannya dibanggakan dengan kononnya pencapaian kenaikan simpanan itu kepada rakyat.

Tanpa disedari, kenaikan itu sebenarnya berpunca dari penjualan aset-aset kerajaan negeri.  Konsep jual dan untung ini bakal menyaksikan negeri Selangor ini terjual nanti, mungkini kepada Singapura!

Mungkin itulah maksud “urustadbir berwibawa” dalam manifesto mereka pada 2008, apabila diterjemahkan dengan tindakan terhebat oleh pemerintahan rejim Khalid Ibrahim, iaitu “memfaraidkan harta rampasan perang”!