klpost

Saya tak rasis, kata Dyana Sofya

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Dyana Sofya Mohd DaudPengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dicabar oleh Dyana Sofya Mohd Daud (gambar) bagi membuktikan dakwaan menyediakan keperluan pendidikan tanpa mengira latar belakang kaum, satu perbuatan rasis.

Setiausaha politik Melayu kepada penasihat DAP, Lim Kit Siang, itu gagal memahami perkaitan dikemukakan oleh Noh yang menyatakan kewujudan komuniti pelajar berbilang kaum boleh mengancam kestabilan negara.

“Saya tidak rasis. Saya hanyalah seorang rakyat Malaysia. Kenyataan sebegini tidak akan difahami oleh masyarakat majmuk di Malaysia.

“Saya tidak nafikan keperluan pendidikan kaum Bumiputera terutamanya di kawasan luar bandar tetapi kaum bukan Bumiputera juga berhak menerima keistimewaan sama.

“Adakah salah meminta layanan sama kepada kawan-kawan saya yang lain? Adakah menuntut keadilan dan berkongsi kemewahan negara boleh digelar kenyataan rasis?” soalnya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Dyana menyifatkan dirinya cukup patriotik dengan melihat kesukaran rakan-rakan kaumnya yang lain sambil menggesa Noh dan pemimpin Barisan Nasional lain turut merasai keperitan sama.

Graduan undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut melihat objektif penubuhan institusi itu tidak lagi berfokuskan kepada golongan sasarnya.

“UiTM kini bukan sahaja terbuka kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah tetapi kepada golongan kelas pertengahan.

“Saya masih ingat ada seorang pelajar yang merupakan anak perempuan kepada seorang menteri memandu kereta Peugeot ke kampus dengan mendapatkan pelekat kenderaan khas dan meletak kenderaan di ruang kakitangan.

“Justeru, jika pelajar bumiputera dari golongan atasan mendapat keistimewaan belajar di UiTM dengan yuran yang rendah, mengapa pelajar bukan Melayu tidak dilayan seperti itu,” katanya.

Beliau turut melihat kemasukan pelajar bumiputera ke UiTM telah mencorotkan lagi kedudukan universiti itu dari kedudukan 601 pada 2012 kepada 701 pada tahun ini berdasarkan kedudukan universiti di dunia.

Katanya, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar sendiri mengakui UiTM tidak mengejar kedudukan disebabkan mempunyai objektif sendiri membantu pelajar Bumiputera yang memerlukan.

Noh semasa dihubungi The Malaysian Insider semalam melabelkan Dyana sebagai Melayu yang tidak kenal sejarah dan menjadi mangsa diperalat DAP.

Beliau berkata, Dyana seharusnya memahami falsafah penubuhan UiTM yang diasaskan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) sambil menggesa gadis itu menelusuri sejarah penubuhan DAP yang diasaskan oleh PAP di Singapura.

Katanya, kaum Melayu telah banyak berkorban untuk kaum lain sebagai contoh kuota Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) turut diberikan kepada pelajar bukan Melayu.

Sementara itu, Ahlis Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut senada dengan Noh sambil menjelaskan objektif penubuhan UiTM bagi membantu pelajar Bumiputera khususnya dari luar bandar.

Beliau berkata, keistimewaan UiTM tidak perlu dipertikaikan kerana masih ada 19 institut pengajian tinggi awam yang terbuka kepada semua kaum dan tidak dihadkan kuota kemasukannya.

Beliau berkata, pihak yang mendakwa UiTM terdiri daripada pelbagai kampus cawangan perlu melihat isu itu secara rasional kerana kaum Melayu tidak pernah mempertikaikan parti bukan Melayu menubuhkan kolej atau universiti mereka sendiri.

Bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula dengan lantang membangkang cadangan yang dikemukakan Dyana sambil meminta pihak yang masih mempertikaikan isu tersebut melihatnya secara rasional.

Beliau berkata, pelajar Bumiputera masih menjadi kumpulan yang ketinggalan di belakang jika dibandingkan dengan pencapaian kaum lain.

Katanya, nisbah pelajar Melayu yang mengikuti bidang pengajian kritikal juga masih berada pada tahap rendah maka UiTM adalah institusi bagi mewujudkan keseimbangan tenaga pakar di Malaysia.

Beliau mahu pihak yang masih mempersoalkan isu tersebut melihat kejayaan graduan UiTM yang berjaya menerajui syarikat swasta di Malaysia sambil menafikan istilah bodoh dan malas bukan ‘pakaian’ pelajar UiTM.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan menyifatkan Dyana sebagai budak muda yang masih mentah.

Setiausaha Agungnya, Syed Hasan Syed Ali, berkata jika tanpa polisi UiTM yang mengangkat martabat orang Melayu, maka pastinya Dyana tidak akan bergraduasi di sana. -TMI