klpost2

‘Saya nekad terjun walaupun diculik’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUCHING  –  “Saya nekad terjun menyelamatkan diri walaupun kenderaan dipandu penjenayah itu sedang bergerak laju,” kata Nor Shereen Ahmad, menceritakan detik cemas apabila pacuan empat roda Mitsubishi Pajero milik suaminya dilarikan seorang lelaki di Jalan Main Bazaar, Tebingan Kuching, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian kira-kira jam 11 malam, peniaga berusia 42 tahun itu berkata, dia di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan itu kerana menunggu suami menutup premis perniagaan sebaik selesai berniaga.

Menurutnya, akibat kepenatan, dia terlelap seketika sementara sebelum seorang lelaki tidak dikenali memasuki kenderaan lalu memecut.

“Saya terjaga sebaik menyedari kenderaan bergerak dan terkejut apabila mendapati pemandunya bukan suami. Saya nekad untuk keluar, tetapi lelaki itu menarik baju dan tudung.

“Bagaimanapun, saya mencuba sekali lagi untuk keluar daripada kenderaan dan berjaya membuka pintu sebelum nekad terjun,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga, di sini, semalam.

Menurut Nor Shereen dari Kampung Cemerlang, Jalan Lapangan Terbang, di sini, sebelum berjaya melarikan diri, dia sempat mendengar lelaki terbabit meluahkan kata-kata mendendami dirinya.

“Ketika itu, saya hanya memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan diri dan bernasib baik apabila berjaya terjun daripada kenderaan yang sedang bergerak laju itu.

“Saya bernasib baik kerana tidak dilanggar kereta di belakang selepas berjaya terjun. Saya cedera di lengan selain sakit di pinggang akibat terjatuh di atas jalan,” katanya.

Dalam pada itu, suaminya yang enggan namanya disiarkan berkata, dia hanya menyedari isterinya dilarikan penjenayah sebaik dimaklumkan orang awam yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian.

“Orang ramai memberitahu isteri saya terbaring di tepi jalan dalam keadaan kesakitan akibat luka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu. -hmetro