klpost

“Saya nak jumpa anak dan bini dulu”

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

pesalah1
Kota Bharu
– “Saya nak jumpa anak dan bini (isteri) dulu.” Demikian permintaan kontraktor, Ghana Parkas Anthony, 38, selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap tuduhan membunuh pekerjanya di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache membenarkan permintaan Ghana bertemu isteri dan dua anaknya berusia dua serta empat tahun.

“Bagi peluang kepadanya bertemu dengan keluarga. Polis boleh mengiringi. Awak masih ada peluang lagi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Ghana Parkas yang berasal dari Johor selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau berkata, tertuduh marah kepada si mati selepas diperlekehkan sebelum dia memukul dan mencungkil mata mangsa dengan batang kayu mop.

“Tertuduh kemudian mengikat si mati menggunakan tali pinggang dan kain untuk menutup matanya sebelum mencurah minyak ke seluruh badan dan mengikut keterangan pembelaan, tindakan itu adalah untuk menakutkan si mati.

“Mahkamah mendapati orang yang melakukan pembakaran itu adalah tertuduh kerana ia dibuat secara terancang apabila tertuduh membawa minyak bersama ketika kejadian. Pada masa sama, tertuduh turut membuang telefon bimbit si mati dan meninggalkannya biarpun menyedari mangsa terbakar.

“Maka, mahkamah mensabitkan tertuduh terhadap kesalahan membunuh. Tiada pilihan hukuman lain bagi kesalahan ini, selain hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam penghakimannya.

Sebaik mendengar keputusan itu, kedengaran tangisan ahli keluarga tertuduh termasuk isterinya yang turut berada di galeri awam mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Ramu Avali, 39, di ladang sawit, Cherang Tuli, Pasir Puteh, pada jam 6 petang 11 Mei 2015.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Haijan Omar.

Harian Metro pada 12 Mei 2015 melaporkan seorang lelaki maut selepas dibakar di ladang sawit. – Harian Metro