klpost

“Saya jerit suruh lari”-Lelaki mati ngeri dilandasan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PASIR MAS – “Saya jerit suruh dia lari, tetapi dia tetap menyeberang landasan kereta api, macam ada sesuatu yang menutup telinganya,” kata seorang penduduk Kampung Chenok, Slow Machang yang melihat seorang lelaki dilanggar kereta api kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Saksi, Zulkifli Mohamad, 42, berkata, dia menuju ke landasan untuk mengambil anaknya yang berusia tiga tahun, bermain sekitar landasan namun terkejut apabila mendapati mangsa, Mohd
Zudilman Che Ismail, 34, berada di seberang landasan.

“Saya lihat mangsa baru sahaja turun dari kereta rakannya, kemudian mahu menyeberang landasan untuk ke rumahnya sambil memegang telefon bimbit.

“Semua penduduk kampung menjerit malah siren kereta api turut berbunyi beberapa kali, namun tiada tanda mahu mengelak sebaliknya mangsa meneruskan perjalanan,” katanya, semalam.

Menurutnya, sejurus tiba di tengah landasan mangsa dilanggar kereta api dan melambung hampir 50 meter dari tempat kejadian. Melihat kepada kecederaan yang dialami, dia bersama rakan
mangsa mengajarnya mengucap sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian.

Sementara itu, isteri mangsa, Wan Suziana Mohd Nizam, 27, berkata, ketika kejadian dia sedang menyapu di ruang tamu rumah, sementara ibunya berehat kerana sakit.

Suziana tidak mengesyaki sebarang kejadian selepas mendengar jeritan penduduk, kerana sedar suaminya berada di bengkel kereta petang itu.

“Saya sendiri tinggalkan dia di bengkel dan pulang dengan motosikal kerana beranggapan dia akan pulang bersama kereta yang dipandu.

“Selepas mendengar penduduk memanggil nama suami, jantung saya seakan terjatuh dan terus meluru keluar daripada rumah,” katanya.

Menurutnya, dia terlambat kerana suaminya sudah tidak bergerak ketika ditemui di sebalik lalang dekat landasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Zudilman Che Ismail, cuba melintas landasan kemudian dilanggar
kereta api dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah kira-kira jam 6.30 petang.

Menurut Sinar Harian , “Mangsa yang juga pekerja sambilan Telekom didapati mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya, semalam.